Tarikh akhir kemuka e-Borang Tahun Taksiran 2023 dilanjut ke 15 Mei
PUTRAJAYA - Tarikh akhir pengemukaan e-Borang Tahun Taksiran 2023 (TT 2023) bagi individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan dilanjutkan daripada 30 April ini kepada 15 Mei depan.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini berkata, ia meliputi pembayar cukai kategori Individu Pemastautin (pekerja berpengetahuan /berkepakaran /bukan warganegara memegang jawatan utama) dan Individu Bukan Pemastautin.
Selain itu pelanjutan turut melibatkan Individu Bukan Pemastautin (pekerja berpengetahuan), Pertubuhan, Harta Pusaka dan Keluarga Sekutu Hindu.
"Tarikh akhir pengemukaan e-Borang Tahun Taksiran 2023 bagi kategori Majikan Syarikat/ Syarikat Labuan dan Majikan Bukan Syarikat /Syarikat Labuan dilanjutkan daripada 31 Mac kepada 30 Mei depan,” menurut kenyataan itu.
LHDN seterusnya menyarankan pembayar cukai untuk melapor pendapatan dengan mengemukakan e-Borang dan membuat pembayaran (sekiranya ada) dalam tempoh yang ditetapkan, bagi mengelakkan sebarang penalti dan kenaikan cukai.
Pembayar cukai juga perlu mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai sekiranya ada.
Sebagai panduan berkenaan pengemukaan e-Borang, pembayar cukai dinasihatkan untuk merujuk kepada Program Memfail Borang Nyata (BN) Bagi Tahun 2024 yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan berikut:-
i. Bahasa Malaysia:
https://www.hasil.gov.my/media/5u5aympa/program-memfail-borang-nyata-tahun-2024.pdf
ii. Bahasa Inggeris:
https://www.hasil.gov.my/media/fw2jk2fd/rf-filing-programme-for-the-year-2024.pdf
iii. Sepintas e-Buku HASiL 2024
https://www.hasil.gov.my/eduzone/risalah-cukai/risalah-cukai-2024/sepintas-e-buku-hasil/ - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!