Terengganu lambat bertindak tolak Akta Laut Wilayah 2012 - Amanah
KUALA TERENGGANU - Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menyifatkan keputusan kerajaan negeri menolak Akta Laut Wilayah 2012 (AKTA 750) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Khamis lalu sebagai terlewat dan janggal.
Pengerusinya, Mohd Hasbie Muda berkata, ia kerana tindakan tersebut dilakukan selepas enam tahun Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bergelar Menteri Besar Terengganu.
Menurutnya, langkah itu merupakan sesuatu yang janggal sehingga menimbulkan persoalan mengenai kecaknaan, kesungguhan dan ketegasan kerajaan negeri dalam mempertahankan hak negeri itu.
"Sepanjang 33 bulan pentadbiran Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai oleh Pas sebelum ini, kenapa Dr Samsuri dan kerajaan Terengganu tidak berbuat apa-apa untuk meminda atau memansuhkan Akta Laut Wilayah 2012, apatah lagi Menteri Undang-Undang ketika itu juga daripada Pas.
"Menteri Kewangan pada ketika itu dengan jelas menyebut bahawa Kerajaan Negeri Terengganu tidak layak menerima Royalti atau Bayaran Tunai Hasil Petroleum sebaliknya hanya Wang Ihsan kerana tiada hasil petroleum yang didapati dan dijumpai dalam perairan negeri atau tiga batu nautika dari garis pantai wilayah, "katanya dalam kenyataan di sini, malam Khamis.
Tambah Mohd Hasbie, tindakan kepimpinan kerajaan Terengganu yang sebelum ini sekadar berdiam diri seolah-olah akur bahawa negeri hanya berhak menerima Wang Ihsan bukannya royalti.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan lanjut yang akan dibuat oleh kerajaan negeri selepas memutuskan untuk menolak akta berkenaan.
"Kelewatan kepimpinan kerajaan negeri untuk bertindak melindungi hak dan kepentingan negeri serta rakyatnya amatlah mengecewakan.
Sekadar membuat kenyataan menolak Akta 750 tidak membawa apa-apa makna dan sia-sia sahaja.
"Persoalannya, adakah Dr Samsuri benar-benar berani menyaman Kerajaan Persekutuan dalam isu keabsahan Akta Laut Wilayah 2012? Atau kenyataan tersebut hanyalah modal politik bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan," ujar beliau.
Sebelum ini, Persidangan DUN Terengganu ke-15 sebulat suara meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat telah menafikan hak negeri itu untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari garis air surut wilayah negeri berkenaan.
Usul dikemukakan oleh Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Pas- Kota Putera) itu disokong dan dibahaskan oleh Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik); Mohd Yusop Majid (Bersatu-Permaisuri); Zaharuddin Zahid (Pas-Bukit Tunggal) dan Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir) sebelum sesi penggulungan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Pas-Ru Rendang).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!