Melaka, Kelantan dan PDRM diberikan amaran akhir

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan amaran terakhir kepada Melaka United, Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) supaya menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai selewat-lewatnya 31 Januari ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, ketiga-tiga pasukan tersebut perlu menyelesaikan tunggakan gaji ataupun bakal berdepan pemotongan mata dan disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M).

"FAM semalam telah mengeluarkan surat kepada tiga pasukan berkenaan dengan memberikan tempoh masa kira-kira dua minggu bagi melangsaikan hutang berkenaan atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit.

"Namun, jika mana-mana pasukan di atas didapati gagal untuk berbuat demikian pada tarikh akhir yang ditetapkan iaitu pada 31 Januari 2020, masing-masing akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta merta.

"Selepas itu, masih juga gagal diselesaikan sehingga tarikh akhir kedua yang ditetapkan iaitu pada 28 Februari, pasukan berkenaan akan dikenakan pula hukuman tambahan iaitu pemotongan sebanyak enam mata lagi," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, jika pembayaran gaji tersebut tetap tidak dapat diselesaikan pada tarikh akhir ketiga yang ditetapkan iaitu pada 30 Mac 2020, pasukan berkenaan akan dikeluarkan terus secara serta merta dari saingan Liga-M.

"Bagaimanapun, tiada sebarang hukuman pemotongan mata akan dikenakan jika tunggakan gaji berkenaan dapat diselesaikan sepenuhnya atau persetujuan bersama di antara pasukan dan pemain atau pegawai berjaya dicapai sebelum atau pada 31 Januari 2020.

"Ingin juga diingatkan, mana-mana pasukan di atas yang telah mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan sebelum tarikh akhir pertama mereka tetap boleh dikenakan hukuman pemotongan tiga mata jika tidak membayar tunggakan kepada pemain atau pegawai berkenaan mengikut tarikh yang telah pun dipersetujui," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!