Alasan guna nombor plat lain takut Y15 ditarik bank jerat diri

Polis menahan lelaki yang guna nombor pendaftaran milik kenderaan lain pada motosikalnya di Bukit Permai, Ampang pada Khamis.
Polis menahan lelaki yang guna nombor pendaftaran milik kenderaan lain pada motosikalnya di Bukit Permai, Ampang pada Khamis.
A
A
A

AMPANG - Tindakan guna nombor plat kenderaan lain di motosikal kerana mahu elak ditarik pihak bank hanya menjerat diri selepas ditahan polis, di Bukit Permai, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 7 pagi semasa sekatan jalan raya.

Menurutnya, pemeriksaan pada penunggang terbabit didapati mempunyai lesen memandu yang sah.

"Namun, pemeriksaan lanjut pada nombor pendaftaran belakang motosikal jenis Yamaha Y15 itu didapati telah didaftarkan di atas sebuah kenderaan lain.

"Soal siasat awal tujuan lelaki itu menukarkan serta mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain pada motosikalnya adalah kerana ingin mengelak dari kenderaannya itu ditarik oleh pihak bank disebabkan kegagalannya menjelaskan bayaran ansuran bulanan," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, lelaki terbabit serta motosikalnya telah dibawa ke Balai Trafik IPD Ampang Jaya untuk siasatan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya, sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tegas Mohd Azam, sebarang perbuatan menukar dan mempamerkan nombor pendaftaran palsu adalah satu kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh yang demikian, gunakan akal fikiran untuk berfikir dengan sebaiknya dari mengundang apa-apa permasalahan dan kesusahan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!