RCI Wang Kelian: Kabinet putuskan sama ada laporan dibuka kepada awam
PUTRAJAYA - Kabinet akan membuat keputusan sama ada laporan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis dibuka kepada awam atau sebaliknya.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan dan syor RCI itu akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet minggu hadapan.
"Kita telah menerimanya dan ia akan dibentangkan kepada Kabinet dan akan buat keputusan sama ada laporan siasatan itu dibuka kepada awam mahupun tidak," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
RCI dipengerusikan Tun Ariffin Zakaria dilapor telah mempersembahkan laporan siasatan dan syor kepada Yang di-Pertuan Agong, September tahun lalu.
Seramai 48 saksi dipanggil memberi keterangan dalam prosiding yang memakan masa 17 hari sejak ia bermula pada 17 April 2019.
Penemuan kem dan kubur yang menempatkan 139 mayat di kawasan itu dibongkarkan oleh wartawan tempatan dalam siri laporan eksklusifnya.
Terdapat 28 kem yang menempatkan mangsa pemerdagangan orang dijumpai sekitar bukit-bukit berbatu di sepanjang sempadan Thailand di Bukit Wang Burma di Wang Kelian.
Lebih 100 rangka manusia dipercayai etnik minoriti Rohingya ditemukan dalam kubur berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!