Clayton akhiri pemburuan Perak FC
KEHADIRAN penyerang import dari Brazil, Clayton Da Silveria Da Silva mampu mempertajamkan jentera penyudah Perak FC dalam mengharungi Liga Super 2024/25.
Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah berkata, penyerang berusia 29 tahun yang telah berada Ipoh akan menjalani ujian perubatan sebelum memulakan latihan bersama rakan pasukan.
“Dia akan menjalani ujian perubatan hari ini (Jumaat), harapan kita semoga proses ini akan berjalan lancar dan dia dapat bersama dalam latihan penuh bersama rakan yang lain.
“Untuk mengetahui tentang mengapa kita tertarik untuk menandatangani pemain ini, saya fikir masing-masing (penyokong) boleh menilai keupayaannya selepas dia bersama pasukan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Pada 21 April lalu, Yusri mahukan penyerang import yang bakal mengetuai jentera serangan The Boss Gaurus segera menyesuaikan diri bagi menghadapi Terengganu FC pada perlawanan pertama liga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin 11 Mei ini.
Clayton Da Silveria, merupakan bekas pemain skuad Bawah 23 tahun Brazil selain pernah mewakili kelab Hercilio Luz yang bermain dalam liga Divisyen 4 Brazil pada 2023.
Yusri menjelaskan kemasukan Clayton Da Silveria itu juga menamatkan pemburuan Perak FC dalam mencari pemain-pemain baru bagi menguatkan pasukan.
“Skuad sedia ada telah lengkap dan kita akan fokus kepada latihan dan mencipta keserasian melalui strategi yang saya terapkan dan harapnya semua berjalan lancar,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan pasukan, jurulatih berasal dari Perlis itu berkata, Perak akan mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan menentang KDA FC (Sabtu) dan Penang FC yang dijadual berlangsung pada 4 Mei ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!