'Pengorbanan kamu berikan tidak dapat kami balas dengan air mata' - Panglima TLDM
LUMUT - Khutbah Khas Jumaat di Masjid An-Nur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini menitipkan doa agar semua ahli keluarga dan waris mangsa nahas helikopter diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan itu.
Khutbah bertajuk 'TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara' yang disampaikan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob memaklumkan tragedi yang meragut 10 nyawa kru itu memberi kesan mendalam dan disifatkan sebagai kehilangan besar buat TLDM dan negara.
"Sedarlah bahawa kamu telah menggadaikan nyawa demi ibu pertiwi dan tanah air yang tercinta ini.
"Pengorbanan yang telah kamu berikan pastinya tidak dapat kami balas dengan air mata. Hanya doa yang mampu kami titipkan agar rohmu sentiasa dirahmati ALLAH SWT," katanya.
Menurut Abdul Rahman, segala kenangan yang tercipta sebagai ahli keluarga 'The Navy People' pasti akan terpahat dalam sanubari.
"Pemergian kamu adalah satu pemergian yang dicemburui. Beraninya jiwamu kerana sanggup berkorban demi kami semua.
"Semoga ALLAH SWT memberikan keredaan kepada kami dalam menghadapi perpisahan ini. Pada hari yang penuh bersejarah ini, kami sedekahkan Al-Fatihah kepada kamu, agar dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa.
"Semoga ALLAH SWT mengasihi kamu semua dan menempatkan kamu di kedudukan yang istimewa di sisi-Nya, serta di kalangan orang-orang yang beriman dan juga para syuhada," katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas bersama lebih 3,000 warga TLDM sempena sambutan Hari TLDM Ke-90 di sini.
Keberangkatan tiba baginda yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM disambut oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Abdul Rahman berkata, genap usia 90 tahun TLDM pada Sabtu, sekian lama menyumbang bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi keamanan dan kesejahteraan negara tercinta.
Katanya, hingga hari ini, rakyat jelata mampu menikmati suasana aman dan damai tanpa sebarang ganggu-gugat musuh khususnya di perairan maritim negara.
"Negara kita perlu diperlengkapkan dengan rancangan serta program jangka masa panjang bagi menyemai semangat cintakan negara, rasa tanggungjawab dan kebersamaan di kalangan rakyat demi membela kemuliaan maruah diri, bangsa dan negara.
"Kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak kepada ramainya anggota atau kecanggihan peralatan semata-mata. Yang lebih penting ialah sifat keimanan, keikhlasan, jati diri, semangat juang, kekuatan mental, jiwa dan rohani.
"Percayalah, tugas mempertahankan agama, bangsa dan negara amatlah besar ganjarannya di sisi ALLAH SWT," katanya.
Jelas beliau, kekuatan tentera adalah berpaksi kepada kekuatan iman dan keikhlasan berjuang kerana ALLAH SWT serta taat kepada pemimpinnya.
"Pelbagai program dan tindakan kolektif telah diambil oleh TLDM dalam memastikan kesiagaan armadanya dengan berjaya melaksanakan sebanyak 424 siri operasi melibatkan enam operasi berterusan dan tiga operasi berkala bagi memastikan kehadiran aset-aset TLDM di Kawasan Operasi Maritim (KOM) pada sebilang masa.
"Pujian harus diberikan kepada setiap warga 'The Navy People' yang telah berkorban masa, keringat dan tenaga untuk memenuhi keperluan operasi ini. Mereka tidak pernah mengeluh walaupun dihempas gelombang di lautan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!