Tunjuk hebat pandu laju, netizen cadang saman ikut kadar kelajuan
SHAH ALAM - Pengguna media sosial mencadangkan jumlah saman mengikut kadar kelajuan susulan tular satu hantaran di Facebook menunjukkan individu berkongsi sebuah kereta memandu melebihi had laju yang ditetapkan baru-baru ini.
Seorang pengguna aplikasi X yang juga merupakan pakar automotif, Hezeri Samsuri berkata, saman sedia ada yang diperuntukkan murah sehingga pengguna jalan raya menjadikannya sebagai trend menunjukkan kehebatan masing-masing di jalan lurus.
“Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, kami dah cakap yang saman had laju ini murah sangat.
“Kalau Anthony naikkan jadi RM3,000 dengan sebatan tiga kali di punggung, kita tengok dia nak kongsi ke tidak,” katanya dalam satu hantaran di platform tersebut pada Khamis.
Hezeri berkata demikian sambil berkongsikan gambar tangkap layar hantaran seorang lelaki yang menunjukkan kehebatannya memandu melebihi had laju ditetapkan.
Hantaran itu turut mendapat perhatian netizen dengan rata-rata bersetuju dengan cadangan menaikan harga saman mengikut had laju yang melebihi.
Bagi pengguna lain, Imran Izzuddin Shah berkata, bayaran saman perlu ikut kelajuan dan dikuatkuasakan demerit sebagai contoh lebih 10 kilometer per jam (kmj) dibayar sebanyak RM300.
Selain itu, menurut Farah Hana, daripada saman cermin gelap dengan mahal, saman kelajuan harus dinaikkan dan sekiranya membahayakan nyawa, lesen mereka sepatutnya digantung.
Bagi Salleh Abd Latif, gandakan saman sekiranya mereka tidak menyelesaikannya segera dan budaya memberi diskaun juga harus dihentikan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!