Onn Hafiz tegaskan tiada kasino akan dibuka di Johor
JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor menegaskan bahawa tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri itu sebagaimana berita yang tular sejak Khamis.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berita berkenaan hanyalah khabar angin yang dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemarkan imej Forest City dan negeri Johor secara keseluruhannya.
“Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, kerajaan negeri Johor yakin bahawa Forest City akan diberikan nafas baharu dan kegiatan ekonomi akan bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Selain itu, kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan Persekutuan sedang giat berusaha untuk merancakkan dan mempertingkatkan ekonomi Johor agar memberikan impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi buat Bangsa Johor.
“Dari segi sejarah pula, jelas membuktikan bahawa sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di Johor telah ditutup. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga bertitah bahawa baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor dan ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini,” katanya.
Onn Hafiz berkata demikian mengulas laporan mengatakan Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk membina kasino di Forest City.
Tegas beliau, kerajaan negeri Johor tidak pernah menerima jemputan bagi sebarang perbincangan berhubung perkara tersebut, apatah lagi terlibat atau dirujuk mengenainya.
Katanya, kerajaan negeri juga tidak menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat yang membincangkan perkara yang sama.
“Diharapkan dengan penegasan ini, isu ini tidak lagi dipanjang-panjangkan dan dimomokkan sehingga menjejaskan kerukunan dan nama baik negeri.
“Selain itu ia diharap dapat menjamin keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya.
Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menafikan laporan yang mendakwa kerajaan akan mengeluarkan lesen untuk pengoperasian kasino di Forest City, Johor.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!