Pemandu lori ais tersepit, nahas tiga kenderaan
KLUANG – Seorang pemandu lori ais cedera apabila kenderaan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori sampah dan sebuah kereta jenis Perodua Axia di Jalan Manis, di sini pada Jumaat.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Nuzul Azroy, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut pada jam 11.24 pagi.
Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera pasukan Perkhidmatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) ke lokasi didapati kemalangan tersebut melibatkan tiga kenderaan.
“Pemandu lori jenis Hino yang membawa muatan ais didapati tersepit di bahagian kaki, PKO kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan.
“Setelah berjaya dikeluarkan, mangsa diberi rawatan kecemasan oleh unit EMRS,” katanya.
Pemandu lori ais berkenaan kemudian dibawa oleh majikannya ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Dua lagi mangsa, pemandu lori sampah dan pemandu kereta Perodua Axia tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan berkenaan dan operasi ditamatkan pada jam 11.44 pagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!