Kerjasama CSR Sinar Karangkraf, Universiti Taylor's bantu golongan rentan

Nik Justin (tiga dari kiri) merakam gambar kenangan bersama Barry Winn (empat dari kiri) dan wakil media yang hadir selepas sesi minum petang di Terrasse, Taylor's Lakeside Campus pada Rabu.
Nik Justin (tiga dari kiri) merakam gambar kenangan bersama Barry Winn (empat dari kiri) dan wakil media yang hadir selepas sesi minum petang di Terrasse, Taylor's Lakeside Campus pada Rabu.
A
A
A

SUBANG - Sinar Karangkraf merangka kerjasama dengan Universiti Taylor’s bagi melaksanakan program-program pemerkasaan rakyat khusus dalam membantu golongan rentan.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, kerjasama tersebut juga sebagai usaha jangka masa panjang bagi kedua-dua pihak mengembangkan program tanggungjawab sosial untuk komuniti.

“Kita akan bekerjasama rapat dengan pihak Universiti Taylor’s untuk jangka masa panjang bagi pemerkasaan rakyat dan komuniti.

“Perbincangan awal telah dibuat dan akan disusuli dengan perbincangan lanjut mengenai bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan.

“Universiti Taylor’s sendiri mempunyai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang boleh dikembangkan untuk manfaat komuniti dan Sinar Karangkraf boleh memainkan peranan dalam memastikan lebih ramai golongan memerlukan menerima manfaat melalui program yang dilaksanakan kelak,” katanya pada Rabu.

Sesi minum petang Barry Winn (tiga dari kiri) bersama media.
Sesi minum petang Barry Winn (tiga dari kiri) bersama media.

Terdahulu berlangsung sesi minum petang Naib Canselor dan Presiden Universiti Taylor’s, Profesor Barry Winn bersama media di Terrasse, Taylor's Lakeside Campus, di sini.

Dalam pertemuan tersebut, Barry Winn menyatakan kesediaan pihaknya dalam merangka kerjasama berkenaan dengan menyifatkan sebarang usaha membantu golongan rentan memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Turut disentuh mengenai perancangan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyasarkan pemerkasaan Universiti Taylor’s sendiri untuk jangka masa panjang.

Sebelum ini, Universiti Taylor’s melancarkan Projek BacaBaca dan Ibu.Niaga sebagai antara program CSR yang dilaksanakan.

Projek BacaBaca dilancarkan pada tahun 2020 sebagai usaha menangani jurang kemiskinan pembelajaran dalam kalangan pelajar komuniti B40 dan dilaksanakan secara maya ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Sementara Ibu.Niaga pula merupakan projek memberi fokus untuk memperkasa wanita B40, yang turut menyaksikan penglibatan pelajar Universiti Taylor’s sebagai tenaga pengajar.

Projek berkenaan menjadi platform khususnya buat golongan ibu tunggal bagi menaik taraf kehidupan mereka menerusi peluang ekonomi yang boleh menjana pendapatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!