Ahmad Zahid, Muhyiddin sepakat selesai kes saman fitnah
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersepakat untuk menghentikan pertikaian peribadi mereka dan prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Kedua-dua pemimpin itu membuat hantaran di laman Facebook dengan mengumumkan persetujuan tersebut.
Ahmad Zahid dan Muhyiddin menerusi laman Facebook masing-masing berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira saranan daripada Hakim Mahkamah Tinggi.
"Setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah kepada umum dan mengambil kira keadaan semasa negara yang perlu diutamakan khususnya soal kelangsungan kehidupan rakyat, Ahmad Zahid dan Muhyiddin bersetuju menghentikan pertikaian peribadi mereka dan prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
"Ahmad Zahid dan Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai Mahkamah yang terlibat," katanya dalam satu kenyatan pada Jumaat.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 10 hari bermula 16 Oktober ini untuk mendengar kes saman difailkan Ahmad Zahid terhadap Muhyiddin.
Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid berkata, Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris menetapkan 16 hingga 20 Oktober dan 23 hingga 27 Oktober untuk perbicaraan kes itu.
Prosiding turut disertai peguam Shu Ivy yang mewakili Muhyiddin.
Mereka juga berharap keputusan itu dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak.
"Diharapkan ia tidak dijadikan bahan yang boleh menganggu-gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada Institusi Kehakiman Negara," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!