Sudah tiba masa ada peralihan dalam FAM - KJ
SUDAH tiba masa buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan peralihan pucuk pimpinan dalam usaha menggerakkan sukan nombor satu negara itu ke tahap yang lebih pesat pada masa akan datang.
Pandangan itu diluahkan bekas Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sambil menegaskan kepimpinan sedia ada sudah melakukan kerja dengan baik sepanjang memegang jawatan dalam badan induk tersebut.
"Secara peribadi saya rasa pengurusan yang ada sudah buat kerja mereka tetapi kita nak lihat untuk tempoh lima ke 10 tahun akan datang. Saya rasa sudah tiba masanya untuk ada peralihan dalam FAM.
"Saya tidak mahu salahkan pengurusan sedia ada tetapi pengurusan dan tata kelola (FAM) dapat dimantapkan lagi," katanya ketika ditemui media selepas sesi perkongsian bersama penyokong sempena Battle of The Reds di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Perlawanan pertunjukan itu bakal menemukan Manchester Reds dan Liverpool Reds di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan melihat tokoh dari sektor korporat calon yang sesuai untuk meneraju badan induk bola sepak negara itu.
"Mungkin kita boleh pertimbangkan seorang yang ada pengalaman daripada luar pengurusan sukan. Saya suka kalau ada (calon) dari dunia korporat kerana mereka ada komitmen kepada pengurusan dan tata kelola serta urus tadbir," katanya.
Khairy dengan rendah diri bagaimanapun menyifatkan beliau bukan calon sesuai untuk memegang jawatan Presiden FAM yang ketika ini disandang Datuk Hamidin Mohd Amin.
Malah beliau tidak pernah berfikir untuk kembali ke FAM apatah lagi tugas sebagai 'orang nombor satu' FAM itu memerlukan komitmen yang amat tinggi.
"Saya tak terfikir untuk kembali ke FAM dan saya rasa ada calon yang lebih layak untuk menerajui FAM. Presiden FAM adalah satu peranan yang 'hands-on' walaupun tugas harian dilaksanakan Setiausaha Agung.
"Namun Presiden FAM mungkin perlu terlibat dengan pengurusan harian di FAM dan mungkin saya tiada masa untuk ambil peranan di FAM kerana saya seorang yang 'hands-on' kalau buat kerja.
"Jadi tidak adil untuk saya kalau nak cuba nasib dalam pemilihan FAM akan datang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!