Harta intelek pemangkin pembangunan mampan
PETALING JAYA - Malaysia kini berada di landasan yang tepat bagi mencapai Agenda 2030 yang memfokuskan kepada pencapaian matlamat pembangunan mampan (SDG) dalam isu sosial dan ekonomi merangkumi kemiskinan, kesihatan, pendidikan, pemanasan global, alam sekitar dan keadilan sosial.
Dalam mencapai matlamat tersebut, ia berkait rapat dengan pembangunan harta intelek yang menjadi memangkin kepada kelestarian pembangunan, pertumbuhan serta kesejahteraan manusia sejagat.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Ts Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, yang mana agensi itu ketika ini sedang bergerak mencapai agenda berkenaan selaras dengan peranannya yang bertanggungjawab mengurus, mentadbir sistem harta intelek di negara ini.
Katanya, sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) merupakan antara manifestasi bagi mencapai Agenda 2030 yang mana ia berjaya menggembeleng daya cipta dan inovasi di Malaysia melibatkan syarikat, organisasi, institusi pendidikan dan individu.
“Justeru adalah menjadi harapan saya agar sambutan HHIN kali ini membuka mata kita dan memberi kesedaran mengenai pentingnya harta intelek dalam pembangunan ekonomi dan peradaban bangsa,” katanya ketika berucap sempena sambutan HHIN 2024 yang dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
Turut hadir sambutan HHIN 2024 yang bertemakan “Harta Intelek Nadi Malaysia Madani” Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Abu Bakar dan Ketua Pengarah MyIPO, Kamal Kormin.
Sambutan HHIN 2024
Pada masa sama, Mohd Zuhan memberitahu, sempena sambutan HHIN 2024, MyIPO telah melaksanakan pelbagai program menarik sepanjang bulan April antaranya program Super IDEA: Innovators & Entrepreneurs yang memfokuskan perkongsian maklumat mengenai harta intelek kepada pelajar-pelajar di tujuh buah sekolah menengah terpilih di seluruh negara.
Tujuh sekolah menengah terbabit iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun, Petaling Jaya, Selangor; SMK Teknik Sejingkat, Kuching (Sarawak); Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (Sabah); SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru (Johor); SMK Ayer Keroh (Melaka) dan SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan, Pahang dan Kolej Vokasional Butterworth, Pulau Pinang.
Selain itu, MyIPO turut menganjurkan program ilmiah kepada masyarakat melalui webinar, podcast ‘Cherita Harta Intelek’ selain seminar dan pocket talk.
“Pameran harta intelek dengan penglibatan 70 pempamer turut diadakan di ruang legar Menara MyIPO pada 26 April selain membuka kaunter khidmat nasihat kepada para pengunjung,” ujarnya yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak menjayakan HHIN 2024.
Hala tuju dan pemerkasaan
Sementara itu, Kamal menegaskan MyIPO telah mengambil serta melaksanakan pelbagai inisiatif memperkasakan perkembangan harta intelek negara antaranya meneliti serta meminda semula akta-akta dan peraturan seperti Akta Hak Cipta 1987, Akta Cap Dagangan 1976.
“Sementara itu, dua lagi Akta lain yang akan dipinda ialah Akta Paten 1983 dan juga Akta Rekabentuk Perindustrian 1996.
“Dengan usaha ini, kita yakin ia dapat memberi impak positif kepada peningkatan perlindungan hak-hak pemunya harta intelek serta hak-hak berkaitan lainnya,” jelas Kamal.
Petronas ungguli AHIN 2024, terima pingat emas kategori Platinum
PETALING JAYA - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dinobat sebagai pemenang pingat emas kategori Platinum bagi Pembangunan Lestari Harta Intelek sempena Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2024.
Syarikat minyak dan gas itu berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000 berserta piala pusingan AHIN serta sijil penghargaan selepas menewaskan Pusat Inovasi dan Perundingan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang masing-masing menerima pingat perak dan gangsa.
Sementara itu, majlis penganugerahan AHIN bersempena Hari Harta Intelek Negara (HHIN) 2024 itu menyaksikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperoleh pingat emas bagi kategori Teknologi Hijau diikuti USM (perak) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang menerima pingat gangsa.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, harta intelek merupakan asas kepada pembangunan negara yang dipacu oleh budaya inovatif.
“AHIN merupakan pertandingan yang dibuka kepada individu, syarikat swasta, badan kerajaan, institusi pendidikan dan syarikat multinasional. Tahun ini, sebanyak 260 penyertaan telah diterima dan sebanyak lima kategori telah dipertandingkan dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM219,600.
“Anugerah ini merupakan pengiktirafan harta intelek yang menonjolkan aspek teknologi hijau, kelestarian inovasi, kreativiti serta nilai komersial,” katanya ketika berucap menyempurnakan perasmian sambutan HNIN 2024 anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), di sini pada Jumaat.
Dalam majlis itu, Markas Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pangkalan Laut TLDM merangkul pingat emas manakala Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak dan Azuan Failani Arifin memenangi pingat perak dan gangsa bagi kategori Karya Lestari.
Pada masa sama, kategori Milenial dimenangi Politeknik Sandakan, Sabah manakala kategori Permata pula dimenangi oleh Maktab Tentera Diraja (RMC), Kuala Lumpur.
Reaksi:
“Sebagai penyumbang kepada ekosistem inovasi Malaysia, kami berharap untuk menghasilkan lebih banyak harta intelek yang dapat membawa kelebihan daya saing bagi memacu pertumbuhan dan transformasi negara. “- Naib Presiden Teknologi dan Pengkomersialan Kumpulan Petronas, Aadrin Azly.
“Alhamdulillah kami rangkul emas hari ini, saingan inovasi daripada politeknik lain juga sangat sengit.”- Pensyarah Politeknik Sandakan, Ts Azhar Ambo, 42.
“AHIN adalah platform terbaik untuk mempamerkan idea dan inovasi serta menjadi medan pemasaran efektif. “- Wakil TLDM, Leftenan Komander Ts Chan Jun Shen, 29.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!