Murid SJKC raih 8A UPKK, petah berbahasa Inggeris
SHAH ALAM - Bukan hanya memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), seorang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) petah bertutur dalam bahasa Inggeris buat ramai kagum.
Menerusi rakaman-rakaman video dikongsikan di TikTok Makjah, ramai terpegun dan terpesona dengan lenggokan percakapan kanak-kanak itu yang dikatakan ala loghat British.
Ibu kepada kanak-kanak tersebut, Nooraziyan Abd Rahman, 40, berkongsi cerita, anak lelakinya bernama Eka hanya seperti kanak-kanak lain yang sama usia.
"Eka seorang yang cepat belajar. Dia lancar bercakap Inggeris kerana banyak menonton YouTube sejak kecil di bawah kawalan saya dan suami.
"Biasanya Eka menonton video bahasa itu menerusi siaran pendidikan dan ulasan. Bagaimanapun, kami tetap menggunakan bahasa Melayu di rumah bagi memastikan dia fasih dalam kedua-dua bahasa," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut Nooraziyan, anak sulung daripada empat beradik itu juga telah dihantar ke SJKC sejak enam tahun sekali gus menjadikan Mandarin sebagai bahasa ketiga yang dikuasainya.
Ujarnya lagi, bagi memastikan anak mendalami ilmu Islam, Eka turut dihantar ke sekolah agama berhampiran rumah.
"Saya pun tidak sangka Eka dapat keputusan cemerlang dalam UPKK baru-baru ini sebab jarang murid SJKC cemerlang di sekolah agama. Bila Eka berjaya, ramai yang kagum dan bertanyakan tip kejayaan.
"Sebagai ibu sudah tentu saya bersyukur kerana Eka seimbang dalam pelajaran di kedua-dua sekolah, tiga lagi adiknya turut melalui perkara sama dalam pendidikan," katanya.
Setiap video yang mempamerkan gelagat Eka dikongsikan ibu saudaranya dikenali Makjah itu sentiasa meraih perhatian ramai.
Rata-rata netizen memuji kanak-kanak tersebut sangat pandai dan dilihat matang dalam berbicara dan tingkah laku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!