Bantu kanak-kanak hafaz al-Quran

Ustazah Syahrul (dua dari kiri) membantu pelajar menghafaz al-Quran dengan teknik yang mudah dan betul.
Ustazah Syahrul (dua dari kiri) membantu pelajar menghafaz al-Quran dengan teknik yang mudah dan betul.
A
A
A

ALOR SETAR - Memenuhi keperluan ibu bapa yang mahu anak-anak mereka menghafaz al-Quran mencetuskan idea kepada Syahrul Haninah Mohd Salleh, 39, untuk melaksanakan aktiviti berteraskan hafazan kitab suci itu.

Syahrul Haninah atau lebih mesra dengan panggilan Ustazah Syahrul menggunakan pengalaman dimilikinya bersama tujuh adik-beradik menghafaz al-Quran sehingga 30 juzuk sejak kecil.

Menurutnya, pengalaman itu diserapkan dalam membina modul hafazan untuk kanak-kanak menghafaz al-Quran seawal enam tahun.

“Memperkasakan pendidikan al-Quran pada hari ini sangat mencabar. Pembentukan modul-modul hafazan yang bersesuaian dengan pendidikan digital dan dalam talian adalah satu keperluan untuk memikat hati anak-anak menghafaz al-Quran,” katanya.

Menurutnya, membina generasi anak-anak dengan al-Quran bukan sahaja di peringkat sekolah rendah, malah ia perlu dikembangkan dengan pengetahuan ibu bapa dan merancang agar anak mereka melanjutkan pengajian ke sekolah menengah tahfiz akademik atau dikenali sebagai Sekolah Ulul Albab.

Pelajar sedang mengikuti sesi praktikal hafazan dengan teknik yang mudah dan betul berdasarkan format temu duga ke sekolah menengah tahfiz.
Pelajar sedang mengikuti sesi praktikal hafazan dengan teknik yang mudah dan betul berdasarkan format temu duga ke sekolah menengah tahfiz.

“Di Malaysia, kerajaan amat menitikberatkan pendidikan al-Quran selari dengan keperluan akademik. Ia terbukti dengan wujudnya Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Tahfiz Model Ulul Albab.

“Begitu juga dengan adanya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) model Tahfiz Ulul Albab, selain sekolah-sekolah yang menjalankan pengajaran mengikut Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) serta sekolah menengah tahfiz swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kemudahan tersebut sudah tersedia tetapi masih ramai ibu bapa kurang pengetahuan berkaitan peluang yang terbuka luas untuk anak mereka menyambung pengajian menengah tahfiz.

“Tugas saya untuk terus berjuang menyampaikan maklumat berkaitan peluang yang ada. Saya menyokong hasrat ibu bapa yang mahu anak mereka memilih pendidikan berteraskan al-Quran.

“Terdapat pelbagai program seperti webinar untuk merancang anak hafiz Quran, selain melatih anak menghafaz dengan teknik betul dan bertepatan dengan format temu duga ke sekolah Tahfiz Ulul Albab,” katanya.

Menurutnya lagi, modul dan program yang dijalankan adalah secara atas talian atau fizikal untuk membantu keluarga merancang dan membantu anak-anak mempelajari teknik hafazan yang mudah serta betul.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!