Peningkatan gaji konsisten dapat tingkatkan simpanan KWSP hari tua
SHAH ALAM - Peningkatan gaji yang konsisten dan berterusan memainkan peranan penting dalam meningkatkan simpanan pekerja di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai persediaan kehidupan pada hari tua.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, usaha memastikan simpanan yang mencukupi untuk masa hadapan merupakan kunci dalam kestabilan kewangan jangka panjang.
“Dengan mengambil kira semua pertimbangan ini akan dapat membuat keputusan yang lebih tepat dan bijak mengenai penggunaan akaun Fleksibel KWSP atau alternatif lain yang sesuai dengan keperluan serta matlamat kewangan yang bukan menggalakkan pengeluaran tetapi menggalakkan perancangan kewangan yang teratur dan terancang bagi kehidupan hari tua nanti,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Effendy, beberapa perkara pencarum perlu dipertimbangkan sebelum membuat pengeluaran akaun Fleksibel KWSP termasuk faktor kecemasan dan kestabilan kewangan, ketidakpastian ekonomi serta perancangan kewangan.
“Jika memerlukan akses segera kepada dana untuk kecemasan atau situasi mendesak lain, akaun Fleksibel KWSP boleh menjadi pilihan yang baik,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, penggunaan akaun Fleksibel KWSP untuk mengeluarkan simpanan boleh memberi kesan dari segi simpanan untuk persaraan dan potensi kurang pendapatan pelaburan.
“Selain itu, pengeluaran berulang dari akaun Fleksibel KWSP boleh mengurangkan kemampuan simpanan untuk berkembang secara maksimum melalui pelaburan jangka panjang.
“Walaupun fleksibiliti untuk mengeluarkan simpanan adalah baik, ia penting untuk menyeimbangkan keperluan semasa dengan matlamat jangka panjang persaraan.
“Memastikan simpanan yang mencukupi untuk masa depan adalah penting untuk kestabilan kewangan jangka panjang,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!