Kerajaan Persekutuan kaji permohonan wujudkan hospital di Pengerang - Azalina

Azalina. Foto Bernama
Azalina. Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Persekutuan sedang mengkaji permohonan mewujudkan sebuah hospital di Pengerang, kata Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, perkara itu disambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hospital tersebut akan memudahkan penduduk mendapatkan rawatan memandangkan Pengerang semakin pesat membangun dengan adanya Projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) selain merupakan destinasi pelancongan.

"Saya berbincang dengan Perdana Menteri berhubung perkara ini dan beliau memberi makluman bahawa permohonan saya ini akan dikaji dan bagaimana konsepnya nanti untuk ia (hospital) diwujudkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pengerang di sini malam tadi.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, hospital terdekat dengan kawasan Pengerang ialah Hospital Kota Tinggi sejauh kira-kira 50 kilometer, sekali gus memakan masa bagi penduduk untuk mendapatkan rawatan.

"Kalau kita tengok projek Rapid, kita takut juga berlaku apa-apa kecemasan, memang (Rapid) ada kemampuan untuk bawa ke hospital swasta atau guna perkhidmatan helikopter, namun ia juga perlu melihat keadaan cuaca dan perlu guna jalan darat.

"Jadi saya harap, sekiranya hospital besar tidak dapat (dilaksana), sekurang-kurangnya ada satu pusat kecemasan dan kemalangan (diwujudkan) supaya kalau berlaku apa-apa, pusat berkenaan telah ada," katanya.

Azalina sebelum ini dilapor sebagai berkata Pengerang memerlukan sebuah hospital bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan susulan hospital kerajaan sedia ada agak jauh dari kawasan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!