Pertembungan empat penjuru di PRK KKB
HULU SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.
PH diwakili Pang Sock Tao, PN pula Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamaruddin di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Yuhanas memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima empat borang pencalonan dan tiada yang ditolak.
Terdahulu Khairul Azhari tiba di dewan pencalonan jam 8.35 pagi diriingi pemimpin utama antaranya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu; Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Ab Halim Tamuri.
Sementara Sock Tao tiba jam 8:43 pagi, diiringi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser dan SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!