PRK Kuala Kubu Baharu: Boon Lai tarik diri saat akhir
HULU SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Hasrat seorang pesara, Chng Boon Lai menjadi salah seorang calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu tidak kesampaian apabila dia didapati tidak memenuhi syarat kelayakan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Boon Lai yang hadir ke Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor jam 9.40 pagi terpaksa pulang hampa selepas menarik diri saat akhir ekoran gagal mengemukakan penyata untuk perbelanjaan.
Menurutnya, walaupun agak kecewa tidak dapat menjadi calon Bebas namun terpaksa akur susulan ia disebabkan kesilapan sendiri.
"Tak dapat buat apa-apa, kena mengaku ia disebabkan kesilapan sendiri (tidak penuhi syarat ditetapkan)," katanya ditemui pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas terpaksa menarik diri saat akhir disebabkan tidak memenuhi syarat SPR.
Pegawai Pengurus PRK Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamaruddin pada Sabtu mengumumkan menerima empat borang pencalonan PRK Kuala Kubu Baharu.
Mereka terdiri calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao; Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut diikuti Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin dan bebas, Nyau Ke Xin.
Boon Lai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor lalu turut bertanding sebagai calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) DUN Kuala Kubu Baharu.
Beliau sebelum ini merupakan ahli DAP namun meletakkan jawatan pada 2023 untuk bertanding sebagai calon PRM.
Boon Lai berkata, PRK kali ini tidak bertanding atas tiket PRM atas faktor mengambil keputusan mahu menjadi calon pada saat akhir.
Bercerita lanjut, beliau mahu menjadi calon atas rasa kekecewaan dengan DAP yang meletakkan calon luar mewakili Kerajaan Perpaduan berbanding anak tempatan.
"PRN lalu mereka letak calon sakit, PRK pula dimaklumkan terdapat lima calon tempatan dalam senarai awal tapi Kerajaan Perpaduan memilih calon luar.
"Saya tidak boleh terima keputusan tersebut disebabkan calon muda, yang baharu masuk parti (DAP) tapi tidak sampai enam tahun sudah jadi calon sedangkan orang lama yang sudah berusaha langsung tak diberi peluang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!