Piala Thomas: Tabik Jun Hao, Malaysia 3 Hong Kong 0
PUJIAN wajar diberikan kepada pemain perseorangan, Leong Jun Hao yang bangkit daripada ketinggalan untuk menghadiahkan mata ketiga buat negara sekali gus mengatasi Hong Kong 3-0 dalam aksi Kumpulan D Piala Thomas di China sebentar tadi.
Jun Hao yang tumpas pada set pertama kepada Angus Ng Ka Long 17-21, bangkit pada aksi kedua 21-12 untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Momentum positif diteruskan oleh pemain yang menduduki tangga ke-37 dunia itu apabila mengesahkan kemenangan 21-15 ke atas Ka Long yang menghuni ranking ke-27 dalam tempoh 61 minit permainan di Hi-Tech Sports Center, Chengdu.
Ia adalah pertemuan pertama mereka di pentas antarabangsa dan tabik buat Jun Hao yang tenang beraksi tanpa mengenal erti menyerah kalah.
Kejayaan tiga mata hatrik itu, meletakkan Malaysia sebelah kaki ke saingan suku akhir.
Sebelum itu, Zii Jia mengutip mata pertama setelah menewaskan Lee Cheuk Yiu 21-18, 21-18 dalam saingan selama 45 minit.
Kejayaan tersebut merupakan kemenangan kedua Zia Jii dalam pertemuan dengan Cheuk Yiu di pentas antarabangsa.
Beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kemudian meneruskan rentak positif apabila menyumbang mata kedua buat skuad badminton negara.
Pasangan yang menghuni ranking kelima dunia itu menumpaskan gandingan Hong Kong, Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi 21-16, 21-12 untuk Malaysia menggandakan kemenangan.
Selepas aksi Jun Hao, gelanggang akan diambil alih oleh pasangan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang akan menentang Reginald Lee-Tang Chun Man dalam saingan beregu kedua, manakala Justin Hoh bakal berdepan cabaran, Chan Yin Chak dalam perseorangan ketiga.
Saingan dua perlawanan itu adalah sebagai pelengkap jadual kerana Malaysia telah melakar kemenangan 3-0 dalam aksi pembukaan kumpulan untuk meraih tiga mata pertama.
Malaysia akan menentang Algeria pada Ahad dan pasukan pilihan, Denmark pada Selasa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!