Habis satu kedai kena angkut
GEORGETOWN - Sebuah restoran masakan timur tengah yang popular di Lebuh Chulia di sini terpaksa menghentikan operasi perniagaan apabila semua pekerjanya ditahan ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang malam tadi.
Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 9 malam itu turut menyebabkan beberapa pelanggan yang sedang menikmati hidangan makan malam terpinga-pinga selepas melihat restoran itu diserbu dan beberapa pekerja berlari ke bahagian dapur bagi mengelak ditahan.
Bagaimanapun, usaha mereka untuk meloloskan diri gagal apabila restoran berkenaan terlebih dahulu dikepung penguat kuasa.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua pekerja warga asing di restoran berkenaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain mendapati ada di kalangan mereka menyalahgunakan pas lawatan.
"Disebabkan restoran berkenaan popular dengan menu dari timur tengah mereka juga menggunakan beberapa pekerja termasuk tukang masak dari negara itu tanpa mengikut peraturan yang ditetapkan dan ini menyalahi undang-undang negara kita.
"Tindakan pemilik restoran berkenaan menggunakan pekerja warga asing tanpa mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan adalah satu kesalahan dan dia diarahkan ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di Seberang Jaya untuk diambil keterangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Menurutnya, kesemua 23 pekerja lelaki warga asing yang ditahan itu terdiri daripada tiga warga Syiria, Yaman (3), lelaki Bangladesh (15), seorang lelaki Pakistan dan seorang wanita warga Indonesia.
"Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 45 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan," katanya.
Muhamad Husni berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan terhadap restoran berkenaan yang menggajikan pekerja asing yang tidak mempunyai permit sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!