Yakeb salur bantuan lebih RM500,000 kepada bekas atlet
YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menyalurkan bantuan berjumlah lebih RM500,000 kepada bekas-bekas atlet di seluruh negara dalam tempoh setakat empat bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, saluran dibuat melalui 12 skim di bawah Yakeb antaranya perubatan, khairat kematian dan pendidikan.
“Sepanjang tahun ini, hingga April, Yakeb sudah menyalurkan sekitar RM500,000 bantuan kepada 150 bekas atlet yang berdaftar dengan yayasan ini.
“Bantuan paling tinggi merangkumi perubatan termasuk peralatan dan antara lain ialah skim pendidikan kepada anak-anak bekas atlet, khairat kematian selain bantuan banjir,” katanya kepada pemberita selepas melawat bekas atlet dan jurulatih bola keranjang kebangsaan yang lumpuh, Wee Cheong Phor di Telipot pada Sabtu.
Noorul Ariffin berkata, pihaknya menyasarkan lebih ramai bekas atlet mendaftar dengan yayasan itu bagi memudahkan pihaknya mengakses dan menyalurkan bantuan yang diperlukan.
Menurutnay, banyak manfaat yang disediakan kepada ahli di bawah 12 skim terbabit antaranya bantuan rawatan sebanyak RM20,000 setahun untuk sakit kronik, peralatan (RM20,000) dan khairat kematian (RM3,000).
“Bagi rawatan pesakit luar juga, ahli akan menerima RM2,500 dengan syarat rawatan yang diterima adalah di hospital kerajaan selain ahli yang sakit terlantar diberikan RM300 sebulan selama enam bulan.
"Setakat ini seramai 3,079 bekas atlet yang berdaftar di bawah Yakeb di seluruh negara dan menyasarkan jumlah itu bertambah kepada 4,000 hingga hujung tahun ini," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!