'Arwah beria ajak kami rakam gambar kenangan'

Muhammad Afiq Anaqi (kiri) menunjukkan gambar kenderaan bapanya yang terlibat kemalangan
Muhammad Afiq Anaqi (kiri) menunjukkan gambar kenderaan bapanya yang terlibat kemalangan
A
A
A

KUALA KRAI - Anak kepada mangsa kemalangan maut di Jalan Kuala Krai-Gua Musang di sini tidak menyangka kegembiraan bapanya untuk bergambar bersama keluarga pada Aidilfitri lalu merupakan gambar terakhir bersama bapanya.

Muhammad Afiq Anaqi, 20, berkata, sebelum ini bapanya, Allahyarham Mohd Anif Mat Jizi, 41, sentiasa mengelak untuk jika diajak kerana tidak suka bergambar.

"Bagaimanapun pada hari raya lalu, arwah mengajak kami untuk bergambar sekeluarga dan dia beria meminta kami merakam kenangan itu selepas solat sunat Aidilfitri," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Sultan Ismail Petra di sini.

Bagaimanapun katanya, kesemua gambar itu sudah tiada dalam simpanan berikutan telefonnya mengalami kerosakan.

Menurut Muhammad Anif, pada sambutan hari raya lalu ibunya, Fatimah Hassan, 30-an memilih tema warna merah hati untuk pakaian kami sekeluarga.

Anak sulung enam beradik itu memberitahu, dia dan adik-beradik lain juga sempat pergi ke masjid bersama arwah bapanya untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Tuan Muhammad Adam Asyraf menunjukkan dagunya yang luka dalam kemalangan yang mengorbankan ibu serta neneknya.
Tuan Muhammad Adam Asyraf menunjukkan dagunya yang luka dalam kemalangan yang mengorbankan ibu serta neneknya.

Katanya, sebelum kejadian bapanya menaiki sebuah pacuan empat roda dalam perjalanan pulang dari Perak selepas membeli kelengkapan pertanian kerana dia merupakan seorang pesawah padi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kira-kira jam 2 pagi, saya dimaklumkan ibu bahawa bapa mengalami kemalangan tetapi tidak mengetahui keadaan sebenar kesemua mangsa yang bersama dalam kenderaan itu.

Sementara itu, seorang lagi anak kepada mangsa kemalangan terbabit turut berkongsi kejadian yang mengakibatkan kematian neneknya, Salsiah Man, 60, dan Noor Hayati Harun, 40-an.

Tuan Muhammad Adam Asyraf Tuan Arzue,16, merupakan salah seorang penumpang kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger yang dipandu bapanya, Tuan Arzue Daud, 50-an.

Katanya, ketika kejadian mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Chiku 3, Gua Musang selepas

beraya di rumah ibu saudaranya di Rantau Panjang tetapi dia tertidur di bahagian tempat duduk belakang bersebelahan neneknya.

"Saya tersedar daripada tidur kerana terkejut dengan kemalangan yang berlaku dan melihat semua ahli keluarga tersepit di tempat duduk mereka," katanya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu memberitahu, dia kemudiannya berusaha membantu mengeluarkan ibu dan bapanya tetapi tidak berjaya.

Tambahnya lagi, dalam kejadian tersebut, ibunya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala neneknya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.

Tuan Muhammad Adam Asyraf yang mengalami luka di bahagian dagu dan kaki berkata, bapanya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Katanya, kedua-dua jenazah ibu dan neneknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paloh, Gua Musang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!