Lelaki Ghana pecah rekod dunia peluk 1,123 pokok dalam masa sejam
ACCRA - Seorang lelaki Ghana yang sedang mengikuti pengajian perhutanan di Alabama, Amerika Syarikat berjaya memecah rekod dunia apabila memeluk 1,123 batang pokok di Taman Hutan Negara Tuskegee dalam masa sejam.
Abubakar Tahiru, 29, berminat dengan pemuliharaan alam semula jadi semasa membesar dalam komuniti petani di Tepa Ghana kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Perhutanan di Univerisiti Auburn, AS.
Dalam percubaan rekod itu, Abubakar perlu memeluk pokok dengan kedua-dua belah tangannya tanpa menyebabkan kerosakan dan dia perlu bertindak pantas semasa melakukan aksinya itu.
Semasa acara itu, dia dikatakan sedang berpuasa dalam bulan Ramadan dan percubaannya kali ini dikatakan sangat mencabar kepada dirinya.
"Tidak dapat meminum air sepanjang percubaan ini telah menimbulkan cabaran yang ketara, terutamanya ketika memberikan tenaga fizikal yang diperlukan," katanya.
Dengan purata 19 pokok seminit, Abubakar berjaya melepasi keperluan minimum 700 pokok untuk mencipta rekod dunia tersebut.
Rekod dunia itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan untuk menjaga dan memulihara alam sekitar. - Agensi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!