Budak lima tahun cedera jatuh dari tingkat tiga flat

Mangsa jatuh dari tingkat tiga rumahnya.
Mangsa jatuh dari tingkat tiga rumahnya.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga rumahnya di Flat Taman College Height di sini pada Sabtu.

Difahamkan kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu berlaku ketika mangsa tinggal bersama dua lagi adik beradiknya manakala ibu bapanya pergi bekerja.

Menurut sumber, mangsa dipercayai terjatuh ketika sedang menjenguk ke luar tingkap bilik belakang rumahnya.

Seorang penduduk Nur Syafiqah Zuriha, 22, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi bising di belakang rumahnya.

"Kami pun kemudian meninjau apa berlaku kerana pada awalnya menyangka ada berlaku pergaduhan antara kanak-kanak.

"Rupa-rupanya ada budak jatuh dari tingkat tiga dan ketika saya sampai, tengok budak itu menangis kesakitan dan ada kesan darah di lantai, " katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, dia tidak pasti bagaimana kejadian itu berlaku dan kes seumpama itu pertama kali berlaku sejak 10 tahun keluarganya menetap di situ.

Ujarnya, dia tidak mengenali ibu bapa kanak-kanak terbabit kerana mereka dipercayai baharu berpindah di situ tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan kejadian terbabit dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

"Polis juga akan mengambil keterangan daripada ibu bapa mangsa dan saya nak nasihatkan ibu bapa supaya tidak meninggalkan anak-anak yang masih kecil sendirian di rumah walaupun dalam tempoh sekejap.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!