Bekas CEO PKNP ditahan SPRM, ini pesan MB Perak...

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Rakyat Perak diminta bertenang dengan berita penahanan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan negeri Perak (PKNP) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya difahamkan tujuan penahanan bekas CEO berkenaan adalah bagi siasatan berhubung isu salah laku.

Malah menurutnya, kerajaan negeri yakin pihak SPRM sedang melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dalam perkara berkenaan.

"Kita difahamkan penahanan itu adalah untuk membantu siasatan. Bila ada bukti yang tunjuk berlaku salah laku, baru akan didakwa dan dalam pendakwaan boleh bela diri.

"Apa pun, biarlah proses siasatan itu berjalan dan mahkamah tentukan," katanya pada sidang media, hari ini.

Difahamkan ketika berita ini ditulis, bekas CEO berkenaan telah pun didakwa di mahkamah.

Sementara itu menurut Ahmad Faizal, kerajaan negeri akan sentiasa memantau semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk perbadanan-perbadanan di bawah kerajaan demi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Katanya, kesemua GLC serta perbadanan bertanggungjawab untuk memastikan kemajuan negeri dan bukannya menjalankan perniagaan untuk keuntungan sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Kita serahkan kepada pihak polis serta SPRM jalankan tugas mereka dengan lebih mudah tanpa gangguan.

"Kerajaan negeri akan pastikan kesemua GLC serta perbadanan menjalankan tanggungjawab untuk memajukan ekonomi negeri, bukannya untuk jalankan perniagaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!