Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik UM mohon maaf

Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, UM akan tambah baik proses tapisan, perancangan dan penganjuran program
Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, UM akan tambah baik proses tapisan, perancangan dan penganjuran program
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM) akan tambah baik proses tapisan, perancangan dan penganjuran program bagi memastikan program yang diberi tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik UM berkata, pendekatan tersebut akan dimulakan di peringkat jabatan dalam masa terdekat.

"Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, UM amat kesal dengan kenyataan tidak bertanggungjawab oleh Profesor Dr Bruce Gilley pada 24 April 2024.

"Dengan penuh kekesalan, jabatan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, kerajaan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan warga UM di atas insiden ini.

"Jabatan amat memandang berat dan serius terhadap perkara ini dan akan menambah baik proses tapisan, perancangan dan penganjuran program bagi memastikan platform yang diberikan tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak pada masa akan datang," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan bekas Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa Universiti Malaya (UM) untuk tampil menjelaskan kehadiran profesor dipercayai pro-Israel, Bruce Gilley sebagai penceramah jemputan ke universiti berkenaan.

Susulan itu, UM mendapat kecaman kerana membenarkan seorang ahli akademik Amerika Syarikat menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.

Pada Khamis, KPT mengarahkan UM untuk membatalkan sebarang program dan aktiviti dijadual dihadiri penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan mencetus kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pihak institusi berkenaan tampil membuat permohonan maaf dan akur dengan saranan yang dikeluarkan KPT.

"UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!