Pemburuan kejuaraan EPL Liverpool semakin samar

Antonio antara pencetak gol West Ham United di London. Foto Agensi
Antonio antara pencetak gol West Ham United di London. Foto Agensi
A
A
A

PEMBURUAN kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool semakin samar apabila sekadar meraih satu mata ketika melakukan kunjungan ke atas West Ham United di Stadium London pada Sabtu.

Anak buah Jurgen Klopp yang tekad bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada Everton dalam Derbi Merseyside di Stadium Goodison Park pada 25 April lalu terlebih dulu ketinggalan separuh masa pertama hasil jaringan Jarrod Bowen minit ke-43 yang juga gol ke-20 musim ini dalam perlawanan ke-200 untuk The Hammers.

Separuh masa kedua, Liverpool meningkatkan intensiti serangan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Andrew Robertson pada minit ke-48.

Gol itu ibarat dos penggalak buat The Reds yang kemudiannya menghukum kealpaan bahagian pertahanan The Hammers untuk jaringan sendiri penjaga gol tuan rumah, Alphonse Areola pada minit ke-77.

Bagaimanapun impian Liverpool untuk membawa pulang tiga mata dari London tidak kesampaian apabila tandukan lewat Michail Antonio membolehkan angkatan David Moyes keputusan seri 2-2.

Liverpool kekal di tempat ketiga dengan 75 mata, satu di belakang Manchester City kedua, yang bermain kurang dua perlawanan, dan dua di belakang Arsenal di puncak liga, yang mempunyai satu baki perlawanan manakala West Ham pula kekal di tempat kelapan dengan 49 mata.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!