Liverpool Reds raja Battle of The Reds
LIVERPOOL Reds mengungguli aksi Battle of The Reds selepas menewaskan Manchester Reds 4-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Sabtu.
Perlawanan pertunjukkan itu mengimbas nostalgia peminat tempatan ke atas legenda Liga Perdana Inggeris (EPL) era 1990-an dan 2000.
Djibril Cisse muncul wira Liverpool Reds apabila meledak hatrik dan Florent Sinama turut mencatat nama selaku penjaring.
Dua jaringan Manchester Reds pula hasil sentuhan Damitar Berbatov dan Danny Webber.
Cisse membuka tirai jaringan selepas menerima hantaran kapten, Luis Garcia sebelum disempurnakan dengan baik oleh Cisse pada minit ke-16 di atas padang yang baik selepas hujan.
Belum pun sempat Liverpool Reds menarik nafas, Manchester Reds berjaya mengubah keputusan untuk mengikat kedudukan 1-1.
Hantaran lintang Danny Webber ditanduk kemas Berbatov untuk menewaskan David James di gawang.
Sebelum menuju ke bilik persalinan Manchester Reds menggandakan jaringan pada minit ke-39 menerusi Webber.
Memasuki babak kedua, Liverpool Reds tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan.
Kesilapan Quinton Fortune menjatuhkan Sinama membawa padah apabila Liverpool Reds dihadiahkan sepakan penalti.
Cisse tenang melepaskan sepakan untuk menewaskan penjaga gol, Manchester Reds, Paul Rachubka pada minit ke-46.
Berselang lima minit kemudian Cisse melakar hatrik, sekali lagi menerusi sepakan penalti untuk meletakkan Liverpool Reds mendahului 3-2.
Manchester Reds kemudian berpeluang menyamakan kedudukan, namun sepakan penalti Dwight Yorke dinafikan oleh tiang gol.
Kegagalan itu membawa padah buat Machester Reds apabila Sinama melebarkan jaringan untuk menoktahkan kemenangan Liverpool Reds 4-2 pada minit ke-76.
Perlawanan pertunjukan tersebut dianjurkan oleh AllStar Sports Sdn Bhd dengan kerjasama World Football League (WFL), ACO Media dan Tune Protect.
Kesemua pemain menerima piring piuter sebagai tanda penghargaan atas semangat kesukanan mereka.
Hadiah tersebut bukan sahaja melambangkan simbol kemenangan perlawanan, tetapi sebagai simbolik kecemerlangan yang menjadi dukungan Manchester Reds dan Liverpool Reds.
Keadaan padang yang baik juga sudah pasti melegakan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang sebelum ini kerap menjadi 'bahan' peminat bola sepak susulan insiden rumput terkopak.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!