10 peratus rumah baharu alami kerosakan
SHAH ALAM - Setiap rumah atau bangunan baharu siap berdepan kecacatan sekurang-kurangnya 10 peratus melibatkan keretakan lantai, dinding, kebocoran paip dan sebagainya.
Namun kecacatan rumah kebiasaannya berlaku membabitkan projek berskala kecil berbanding yang dibangunkan pemaju terkenal.
Ini kerana menurut pemeriksa kecacatan rumah, Mohamed Syazni Saiful Bahri, pemaju perlu memastikan kecacatan yang minimum sebelum dijual kepada pelanggan.
“Rumah bermasalah biasanya bergantung kepada status pemaju yang laksanakan projek berkenaan.
“Jika projek itu alami kelewatan dari tempoh masa sepatutnya, kemungkinan banyak masalah timbul.
“Namun kebiasaannya setiap projek perumahan baharu siap akan alami sekurang-kurangnya 10 peratus sahaja masalah,” katanya.
Menurut Mohamed Syazni, kebiasaannya pemaju akan memberi jaminan dua tahun kepada hartanah terjual dan sedia diduduki jika terdapat kerosakan atau kemasan.
Namun ujarnya, ia bergantung kepada perjanjian jual beli (S&P) antara pemaju dan pemilik.
“Mereka yang beli rumah dah siap kena rujuk perjanjian tersebut kerana dokumen itu mengandungi perincian setiap kecacatan kediaman.
“Yang penting rumah tidak pernah melakukan pengubahsuaian atau diduduki kerana kecacatan mungkin disebabkan penghuni atau kontraktor yang buat ubahsuai,” katanya.
Sementara itu, Pengurus My Home Inspector, Yusof Aziz menjelaskan, kecacatan biasa berlaku pada rumah baharu melibatkan kerosakan serius dan kecil.
Ujar beliau, masalah tersebut membabitkan pendawaian elektrik, kesalahan pemasangan jubin lantai atau bumbung yang boleh mengakibatkan kebocoran teruk pada saluran air.
“Masalah kecil pula hanya berkenaan cat tidak rata, cat dinding yang merekah, tampalan tidak kemas dan sebagainya.
“Walaupun kebanyakan masalah ini boleh diperbaiki, ia masih membabitkan kewangan tambahan kepada pemilik,” ujarnya.
Dalam pada itu Yusof turut menasihatkan orang ramai terutama pembeli rumah baharu untuk mendalami ilmu berkaitan pemeriksaan kecacatan menerusi dalam talian atau bahan bacaan sekiranya tidak mampu mendapatkan khidmat golongan pakar.
“Walau bagaimanapun kos yang dibayar untuk upah pemeriksa profesional lebih berbaloi berbanding bayaran yang boleh mencecah lima angka untuk baiki kerosakan tersebut selepas tamat tempoh jaminan,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!