'Saya masih berharap berada dalam dunia bola keranjang'
KOTA BHARU - Bekas atlet dan jurulatih bola keranjang kebangsaan mengakui merindui sukan itu walaupun selepas 10 tahun meninggalkannya sejak 2014.
Wee Cheong Phor, 82, bagaimanapun terpaksa akur khidmat bakti dan tenaga yang dicurahkan kepada negara akhirnya terhenti selepas lumpuh akibat sakit lutut serta tulang belakang.
Katanya, beliau berkecimpung hampir 60 tahun dalam sukan bola keranjang tanah air dan pernah meraih pingat emas pada Sukan Asia dan Sukan Sea ketika bermain bersama pasukan negara ini.
“Meskipun saya sudah bersara dalam arena bola keranjang, saya masih merindui dan berharap dapat menabur bakti sebagai jurulatih tetapi faktor usia serta kesihatan sudah tidak mengizinkan.
“Saya kini hanya mengikuti perkembangan tentang sukan itu menerusi media sosial dan kenalan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika lawatan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, di Telipot, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, pengalaman ketika bersama pasukan akan menjadi kenangan terindah buatnya walaupun kini hanya terlantar di samping isteri, Lim Han Weong, 83.
Kata beliau, Han Weong baru disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat dan turut mendapatkan rawatan di hospital.
“Isteri adalah tulang belakang saya dan tiga anak lelaki turut sama menjaga kami ketika sakit.
“Saya kini sudah tidak dapat berjalan namun pengalaman meraih pingat emas dalam Sukan Asia pada 1979 dan Sukan Sea 1985 tetap segar dalam ingatan.
“Saya berasa sangat bangga kerana mampu membawa nama Malaysia ke mata dunia,” katanya yang juga bekas guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Islah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!