Salah enggan dedah punca perselisihan dengan Klopp
MOHAMED Salah enggan mendedahkan sebab di sebalik perselisihan pendapatnya dengan pengurus Jurgen Klopp semasa Liverpool seri 2-2 menentang West Ham di Stadium London pada Sabtu.
Klopp dan Salah berselisih faham ketika pemain antarabangsa Mesir itu menunggu untuk dimasukkan dari bangku simpanan ketika perlawanan berbaki 13 minit.
Salah enggan mengulas lanjut insiden itu dan menegaskan akan ada sesuatu yang akan meletus sekiranya dia mengulas mengenai perkara itu.
"Akan ada yang meletus hari ini jika saya bercakap," katanya,
Keputusan seri itu memberi tamparan kepada harapan Liverpool yang semakin pudar untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Klopp juga enggan mendedahkan sebab di sebalik perselisihan dengan bintang utama Liverpool itu.
“Kami bercakap tentang perkara itu di bilik persalinan dan ia sudah selesai. Itu sahaja,” katanya.
Kontrak Salah di Anfield akan tamat pada penghujung musim depan dan pemain berusia 31 tahun itu adalah salah seorang daripada beberapa bintang (EPL) yang akan menjadi sasaran kelab Liga Pro Saudi pada jendela perpindahan musim panas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!