Angan-angan Liverpool juarai EPL belum terkubur
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp tidak mahu memikirkan sama ada cabaran gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pasukan itu telah berakhir selepas pasukannya seri 1-1 dengan West Ham United pada Sabtu.
Sebaliknya, beliau menegaskan pencabar terdekat iaitu Arsenal dan Manchester City mempunyai kelebihan dan tidak mungkin akan kehilangan mata dalam beberapa perlawanan terakhir ini.
"Saya tidak memikirkannya sebenarnya.
"Saya berkata sebelum ini bahawa kami perlu memenangi perlawanan ini (menentang West Ham), namun kami tidak memenanginya dan ia tidak memperbaiki keadaan.
"Adakah mereka (City dan Arsenal) kelihatan seperti mereka akan tewas dua atau tiga perlawanan? Tidak, saya tidak fikir begitu," katanya.
Prestasi buruk The Reds baru-baru ini menyaksikan mereka hanya meraih lima mata daripada lima perlawanan liga terakhir sekali gus memudarkan harapan untuk mereka memenangi liga.
Liverpool kelihatan keletihan dari segi fizikal dan mental ditambah tekanan Klopp yang akan meninggalkan pasukan penghujung musim ini nyata memberikan kesan kepada Liverpool.
Sebelum ini, mereka tersingkir daripada Piala FA kepada Manchester United dan kemudiannya turut ditendang keluar daripada Liga Europa selepas kekalahan di tangan Atalanta.
Bagaimanapun Klopp memberitahu, pasukannya hanya boleh mencuba memenangi tiga perlawanan terakhir untuk menamatkan musim ini dengan 84 mata.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!