Pengundi tentukan kemenangan, bukan Tun M - Azmin

Azmin ketika ditemui selepas ceramah di Batu 30 di Hulu Yam pada lewat malam Sabtu.
Azmin ketika ditemui selepas ceramah di Batu 30 di Hulu Yam pada lewat malam Sabtu.
A
A
A

HULU SELANGOR - Kemenangan DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu hanya akan ditentukan oleh pengundi dan bukannya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata, gabungan itu tetap menghormati pandangan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai tokoh politik negara.

“Itu pandangan Dr Mahathir, yang menentukan kemenangan adalah pengundi di Kuala Kubu Baharu.

"Apa yang sedang dilakukan parti bertanding adalah turun padang memberikan penjelasan dan meyakinkan pengundi tentang dasar perjuangan parti masing-masing.

“Akhirnya pengundi yang akan tentukan dan saya yakin mereka matang khususnya anak muda yang ada akses kepada maklumat melalui internet dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu 30 Hulu Yam pada malam Sabtu.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilapor meramalkan DAP akan menang di kerusi terbabit ekoran undi Melayu berpecah susulan kemunculan parti-parti serpihan telah memecahkan undi berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, kehebatan sebuah parti tidak boleh diukur dengan sentimen akar umbi serta situasi semasa kempen.

“Kita hormati pandangan Tun (Dr Mahathir) tetapi dalam situasi semasa, kita harus berada di lapangan, tidak boleh pisahkan dengan sentimen dan aspirasi rakyat di bawah.

Artikel Berkaitan:

“Saya kira macam mana hebat pun sesebuah parti itu, dia kena turun balik ke akar umbi untuk bertemu rakyat, berikan penjelasan dan ini yang sedang kita lalukan," ujarnya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu merupakan kerusi campuran dengan pengundi Melayu membentuk 46 peratus, Cina (30 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (lima peratus).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!