Sindiket jual kosmetik haram didalangi warga Indonesia tumpas
KUALA LUMPUR - Membawa masuk produk kosmetik secara haram untuk dijual di pasaran negara ini terbongkar susulan tangkapan tiga individu warga Indonesia termasuk dalang sindiket terbabit dalam serbuan di Setapak, Kuala Lumpur dan sekitar Ampang, Selangor pada Khamis.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan melibatkan tiga premis itu bermula pada jam 12.15 tengah hari.
Beliau berkata, operasi melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa (Farmasi), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
"Berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama itu, seorang wanita warga Indonesia berumur 50 tahun dipercayai bertindak sebagai dalang diberkas.
"Selain itu, turut ditahan lelaki dan wanita warga Indonesia masing-masing berumur 25 dan 35 tahun yang dipercayai berperanan sebagai jurujual dalam talian produk kosmetik dan kecantikan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, semakan awal mendapati, salah seorang suspek memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah.
"Bagaimanapun, salah seorang suspek wanita tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini manakala suspek lelaki didapati telah tinggal lebih masa.
"Operasi sama turut merampas produk kosmetik dan kecantikan pelbagai jenama, dua naskhah pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM3,263 dan IDR3,271,000," katanya.
Menurutnya, modus operandi sindiket adalah membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan secara haram untuk dijual kepada pelanggan secara dalam talian.
"Produk ini dijual dengan harga RM159 setiap satu dan menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan serta dipercayai telah beroperasi selama enam bulan.
"Kesemua suspek ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih," katanya.
Tambahnya, suspek turut disiasat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
"Jabatan Imigresen Malaysia akan bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!