Hampir bedah 'Kasim Selamat' sendiri, suri rumah syukur ada doktor tawar bantuan
SEREMBAN - Disebabkan kesempitan wang untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang mengalami masalah buasir, seorang suri rumah hampir mengambil jalan nekad untuk melakukan pembedahan sendiri.
Bagaimanapun Khairun Sofea Awang Mohd Faudzi, 33, bernasib baik apabila perkongsian kisah anak kucing yang diberi nama Kasim Selamat itu di kumpulan pencinta kucing di Facebook mendapat perhatian seorang doktor haiwan di Seremban.
Menurutnya, doktor tersebut telah menyatakan hasratnya mahu membantu, malah sanggup ke rumahnya di Kepong, Kuala Lumpur untuk mengambil kucing berkenaan.
"Sebenarnya saya dah buntu fikirkan usaha nak selamatkannya kerana kucing ini telah pun jalani pembedahan empat kali sebelum ini bagi memasukkan semula ususnya sepanjang enam sentimeter yang keluar.
"Tapi tak sangka, perkongsian saya di Facebook telah membuka hati seorang doktor haiwan untuk membantu," katanya ditemui di sini pada Sabtu.
Menceritakan bagaimana dia memiliki kucing tersebut, Khairun Sofea berkata, ia secara kebetulan selepas adik angkatnya telah berputus asa menguruskannya.
Dia kemudiannya mengambil alih menjaga kucing comel tersebut kerana rasa bertanggungjawab.
"Saya rasa bertanggungjawab kerana kucing ini saya yang tolong carikan untuk adik angkat yang dibeli daripada seorang individu dengan harga RM700 pada 17 Mac lalu.
"Pemiliknya maklumkan kucing baka British Short Hair ini tiada masalah kesihatan, tapi masuk hari kedua saya perasan bahagian bawah badan berhampiran duburnya basah dan tak lama kemudian ususnya pula kuar seperti kena buasir," katanya.
Tambah Khairun Sofea, adik angkatnya telah berhabis kira-kira RM2,000 untuk kos rawatan kucing berkenaan dan disebabkan itu dia tidak sanggup lagi menanggungnya.
Khairun Sofea berkata, dia yang juga kesempitan wang telah meminta pandangan di kumpulan pencinta kucing di Facebook berhubung masalah dihadapi.
Menurutnya, ada yang memberi cadangan supaya dia melakukan prosedur pembedahan sendiri bagi memasukkan usus kucing itu.
"Itu yang saya hampir nak buat kerja gila bedah kucing itu sendiri dan ada juga cadangkan pergi ke sebuah klinik di Seremban, tapi disebabkan tiada kenderaan, saya tangguhkan.
"Tak sangka ALLAH membuka jalan untuk saya apabila doktor di klinik itu sendiri membalas komen dan hubungi saya sebelum memaklumkan sedia membantu," katanya.
Sementara itu, pemilik Klinik Veterinar Chinta Qaseh, Dr Azliza Ahmad, 42, yang merawat kucing berkenaan berkata, beliau tersentuh melihat kesungguhan Khairun Sofea yang mahu menyelamatkan haiwan.
"Sebab itu saya sendiri tawar diri untuk datang ambil kucing itu di rumah Khairun Sofea dalam misi menyelamatkannya pada 16 April lalu.
"Bila saya tengok kucing kecil itu, saya jadi sayu dan pada hari sama, prosedur pembedahan terhadap kucing terbabit dilakukan," katanya.
Tambahnya, kos pembedahan tersebut merupakan hasil sumbangan Pertubuhan bukan kerajaan(NGO) Persatuan Pencinta Kucing Negeri Sembilan dan orang ramai.
Ujarnya, untuk kucing itu pulih sepenuhnya mengambil masa kira-kira dua minggu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!