Pelajar 17 tahun buat aksi 'wheelie' ditahan
KUANTAN - Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini antara tiga ditahan selepas dikesan menunggang motosikal secara berbahaya dalam Ops Samseng Jalanan sekitar daerah ini pada tengah malam Sabtu hingga awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Ismail berkata, pelajar berusia 17 tahun itu didapati menunggang sambil mempamerkan aksi 'wheelie' yang boleh membahayakan diri sendiri dan penguna jalan raya lain.
Menurutnya, ketika melakukan aksi itu, motosikal tersebut turut dibonceng rakannya juga berusia 17 tahun.
"Selain dua remaja itu, polis turut menahan seorang pekerja swasta berusia 20 tahun juga atas kesalahan sama.
"Kesemua mereka bersama dua motosikal jenis Yamaha Lagenda dan Honda EX5 dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Wan Mohd Zahari berkata, operasi bermula jam 11 malam pada Sabtu hingga awal pagi Ahad tertumpu di sekitar bandar Kuantan, Jalan Pintasan Kuantan dan Jalan Kuantan-Sungai Isap (Batu 3) di sini.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 136 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
"Kesalahan tiada lesen memandu dan nombor plat mencatatkan kes tertinggi, masing-masing 33 kes diikuti tiada cermin sisi (27 kes), ubah suai motosikal (16 kes), ekzos (12 kes), cukai jalan (lapan kes), topi keledar (empat kes), penunggang bawah umur (dua kes) dan lesen tamat tempoh (satu kes).
"Selain itu, sebanyak 49 motosikal disita bawah Seksyen 64 APJ 1987," jelasnya.
Menurutnya, operasi itu berjalan lancar dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!