Agong terima watikah lima perwakilan asing ke Malaysia

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima Watikah Pelantikan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka pada Istiadat Persembahan Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia dan Majlis Menghadap di Istana Negara hari ini. - Foto: BERNAMA
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima Watikah Pelantikan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka pada Istiadat Persembahan Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia dan Majlis Menghadap di Istana Negara hari ini. - Foto: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima watikah pelantikan lima ketua perwakilan asing ke Malaysia, di Istana Negara di sini.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ketua-ketua perwakilan asing berkenaan ialah Hiroshi Oka dari Jepun, Lee Chi Beom (Korea Selatan), Cheuy Vichet (Kemboja), Ivan Velimir Starcevic (Croatia) dan Nail Latypov dari Rusia.

Oka, memulakan kerjaya di Kementerian Luar Jepun pada 1982 dan pernah berkhidmat di beberapa negara termasuk Arab Saudi dan United Kingdom, selain menjadi Ketua Pengarah Biro Hal Ehwal Timur Tengah dan Afrika pada 2017.

Chi Beom pula pernah menjadi presiden di Perbadanan Alam Sekitar dan Sumber Korea pada 2003 sebelum dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar pada 2006.

Vichet yang berkelulusan undang-undang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Pertama di Kedutaan Kemboja di Jepun dari 2007 hingga 2014.

Sebelum ini, Starcevic berkhidmat sebagai Pengarah Euroasia, Perkongsian Timur, Asia dan Oceania di Kementerian Luar Croatia, manakala Latypov merupakan Timbalan Pengarah Jabatan Konsular di Kementerian Luar Rusia dari 2015 hingga 2019.

Terdahulu sebelum istiadat berlangsung, kesemua ketua perwakilan asing berkenaan diberi tabik hormat oleh kawalan kehormatan utama di perkarangan Istana Negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!