Bina rumah berciri Islamik - Speaker DUN

Mohd Amar (lima dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada seorang pembeli rumah di Taman Kota Jembal, Kota Bharu
Mohd Amar (lima dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada seorang pembeli rumah di Taman Kota Jembal, Kota Bharu
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) perlu membina rumah berkonsep Islamik dengan mengambil kira arah kiblat, keluasan ruang tandas bagi memudahkan penjagaan kebersihan dan mempunyai tiga bilik.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pembinaan kediaman juga penting bagi membolehkan keluarga pemilik menjaga privasi dan aurat isteri serta anak perempuan.

Menurut beliau, walaupun perkara itu bukan syarat atau dasar tetapi ciri Islamik dapat membantu ibu bapa membesarkan anak-anak mengikut syariat Islam.

"Tiga bilik membolehkan anak lelaki dan perempuan tidur berasingan, setiap ruang juga mengambil kira privasi anak perempuan dan isteri, keluasan tandas antara 1 hingga dua meter selain perlu ada dua pintu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Taman Kota pada Ahad.

Mohd Amar yang juga ADUN Panchor memberitahu, PKINK sudah melaksanakan konsep berkenaan dan menerapkannya dalam pembangunan hartanah di negeri ini.

Beliau turut menyarankan pembinaan masjid berada di tengah-tengah setiap kawasan perumahan yang dibina bagi menggalakkan penghuni menunaikan solat.

Dalam pada itu, Mohd Amar menjelaskan, pembinaan Taman Perumahan Kota Jembal akan menjadi pemangkin kemajuan di sekitar kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, Kota Jembal pernah menjadi pusat pentadbiran terawal di Kelantan di bawah pemerintahan Long Yunus yang dianggap raja Kelantan pertama.

Taman Kota Jembal dibangunkan melalui tujuh fasa di atas tanah seluas kira-kira 13 hektar membabitkan pembinaan 241 unit kediaman teres dan banglo yang masing-masing dijual pada harga RM258,000 dan RM340,800.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!