Kemarau: Beting pasir seluas padang bola timbul di Sungai Kelantan

Paras air Sungai Kelantan menyusut hingga menampakkan beting pasir seluas padang bola di tengah-tengah sungai berkenaan berikutan musim kemarau yang melanda negeri itu.
Paras air Sungai Kelantan menyusut hingga menampakkan beting pasir seluas padang bola di tengah-tengah sungai berkenaan berikutan musim kemarau yang melanda negeri itu.
A
A
A

KUALA KRAI - Paras air Sungai Kelantan menyusut hingga menampakkan beting pasir seluas padang bola di tengah-tengah sungai berkenaan berikutan musim kemarau yang melanda negeri itu.

Tinjauan Bernama ke Tangga Krai beting pasir mula timbul sejak sebulan lepas dan kini semakin jelas kelihatan, malah berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan paras air sungai di kawasan itu berada di paras 15.67 meter (m) berbanding paras normal 17m.

Penduduk kampung, Mohd Rafizi Abdullah, 37, berkata, beting pasir tersebut mula kelihatan sejak pertengahan Ramadan lepas dan saiznya semakin besar dari sehari ke sehari.

Dia yang mengusahakan Kedai Kopi Mambong di rumah rakit di sungai itu, berkata, orang ramai yang singgah di kedainya kebanyakan tertarik dan berasa pelik dengan fenomena tersebut, malah ada yang mengambil kesempatan berjalan kaki ke tengah sungai dan bergambar.

"Di bahagian tebing paras air hanya setinggi paha orang dewasa dan semakin lama berjalan ke tengah sungai parasnya semakin tohor,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya keadaan itu sebenarnya menyukarkan bot yang berulang-alik terutama dari Kampung Keluat dan Taku kerana perlu mengambil jarak jauh sedikit sekiranya mahu menyeberangi sungai bagi menggelak beting pasir.

Mohd Rafizi berkata, pemandangan di sungai itu juga akan lebih menarik apabila air sungai jernih tetapi adakalanya keruh kerana hujan di bahagian hulu sungai.

Dia yang turut menyediakan perkhidmatan bot ke Kampung Mambong, berkata, bagi menarik kedatangan lebih ramai pengunjung dia ada membuat sewaan kayak jika ada yang berminat.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, keluasan Sungai Kelantan antara Tangga Krai ke Kampung Keluat dianggarkan sejauh 300 meter.

Bagi Firdaus Mohd Zain, 22, pula fenomena air surut itu sikit sebanyak membuatkan kedai makan di atas rumah rakit miliknya semakin ramai pengunjung.

Menurutnya, kini penduduk dari luar daerah turut datang ke kedai kerana selain mahu menikmati juadah kampung berlauk ikan sungai mereka juga mahu melihat fenomena pasir timbul.

"Ada yang membayar bot semata-mata mahu pergi ke tengah sungai untuk melihat lebih dekat. Bagi yang mahu merasai pengalaman bermain air dan pasir sungai sambil mencari etak bolehlah datang ke sini,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!