Misi 'Freedom Flotilla' ke Genting Gaza terhalang

Agensi bantuan memberi amaran penghantaran bantuan melalui koridor maritim ke Gaza juga tidak dapat menampung keperluan penduduk Gaza yang kini di ambang kebuluran. Foto Agensi
Agensi bantuan memberi amaran penghantaran bantuan melalui koridor maritim ke Gaza juga tidak dapat menampung keperluan penduduk Gaza yang kini di ambang kebuluran. Foto Agensi
A
A
A

ANKARA - Penganjur 'Freedom Flotilla' yang bertujuan memecahkan kepungan haram di Genting Gaza menzahirkan rasa terkilan selepas usaha itu disekat di Turkiye pada Sabtu.

Gabungan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NGO) dan persatuan lain memaklumkan kapal yang digunakan untuk misi itu tidak dapat berlayar ke destinasi setelah Guinea-Bissau menarik balik pengangkutan itu.

“Kami berasa amat kesal dengan keputusan Bissau yang jelas menunjukkan ia berpihak kepada kempen jahat Israel untuk mengakibatkan kelaparan secara sengaja dan perang genosid ke atas penduduk Palestin.

“Ia jelas bermotifkan politik dan mungkin disebabkan tekanan oleh rejim Tel Aviv. Pendaftaran Kapal Antarabangsa Guinea-Bissau (GBISR) tanpa rasa bersalah memaklumkan kepada kami tentang penarikan kapal tersebut yang telah diisi dengan lebih 5,000 tan muatan penyelamat nyawa,” ujar penganjur dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pihak berkuasa negara Afrika Barat itu turut membuat beberapa permintaan 'luar biasa' termasuk maklumat destinasi dan jangkaan masa serta tarikh ketibaan.

“Kebiasaannya, pihak berkenaan hanya mementingkan keselamatan dan piawaian berkaitan kapal yang membawa bendera negara mereka,” jelasnya.

Difahamkan, sebanyak tiga kapal flotila yang akan disertai kira-kira 280 sukarelawan telah berlabuh selama seminggu di pelabuhan Tuzla, selatan Istanbul selepas ia merancang untuk memulakan misi tersebut pada Jumaat.

Pada 2010, misi sama pernah dilancarkan dari bandar Antalya, namun serbuan ganas rejim Zionis ke atas kapal Mavi Marmara hingga meragut 10 nyawa aktivis telah mengeruhkan hubungan antara Ankara dan Tel Aviv. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!