'Jambatan gantung, tempat kami lepas rindu pada Kak Ngah'
KUANTAN - "Setiap kali rindukan Kak Ngah, kami sekeluarga akan ke jambatan gantung di Kampung Aur."
Itu luahan, Nur Wahida Zailan, 26, kakak kepada Nur Hafizah yang hilang selepas terjatuh dari jambatan gantung di Kampung Aur, Muadzam Shah, Rompin pada 3 Mac tahun lalu.
Menurutnya, hanya cara itu dilakukan bagi mengubati kerinduan selain menitip doa buat adiknya atau lebih mesra dipanggil Kak Ngah.
"Kami berdua memang rapat, bila Kak Ngah tiada (hilang), saban hari ke lokasi kejadian (jambatan gantung), kerana di situ satu-satunya kenangan kami sebelum dia hilang dihanyutkan arus deras," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Nur Wahida yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, walaupun pencarian sudah lama dihentikan, namun harapan agar adiknya itu dijumpai masih tinggi.
Luahnya, mereka sekeluarga setia menunggu kepulangan adiknya itu tidak kira apa jua keadaannya.
"Ahli keluarga ada lakukan solat hajat, solat ghaib sebagai usaha terbaik dan harapkan Kak Ngah dapat ditemukan.
"Kita harap supaya jasadnya atau apa sahaja keadaan dapat dikuburkan dan sekurang-kurangnya ada tanda," katanya dengan penuh pengharapan.
Nur Wahida berkata, dua ekor kucing yang pelihara adiknya sebelum kejadian itu masih dibela oleh keluarga.
Ujarnya, kucing yang diberikan nama Muk dan Uteh itu dijaga sebaiknya bagi menghargai pengorbanan adiknya yang berusaha menyelamatkan haiwan itu ketika ditenggelami banjir.
"Ini juga kenangan yang mengingatkan kami kepada Kak Ngah, kami jaga kucing-kucing ini dengan sebaiknya," katanya.
Bercerita mengenai sambutan hari raya tahun ini, Nur Wahida berkata, suasana sama seperti tahun lalu, penuh dengan kesayuan.
Katanya, menu kesukaan adiknya itu seperti nasi dagang dan kari ayam kampung turut dimasak pada lebaran ini.
Dalam kejadian 3 Mac tahun lalu, Nur Hafizah dilaporkan hilang dibawa arus laju ketika menyeberangi jambatan gantung di Kampung Aur dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemui mangsa sebelum dihentikan pada 4 April lalu.
Nur Hafizah dikatakan menyeberangi jambatan gantung untuk pulang ke rumahnya bagi menyelamatkan kucing peliharaan disebabkan rumah mereka ditenggelami banjir.
Bagaimanapun, jambatan terbabit putus menyebabkan Nur Hafizah terjatuh ke dalam sungai sebelum hilang dibawa arus laju.
Nur Hafizah adalah pelatih Program Pembangunan Tamadun Orang Asli (Petama) anjuran Yayasan Pahang pada 2021 dan kemudiannya dilantik sebagai Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (Pepima) bagi kampung Orang Asli Gadak dekat Bukit Ibam, tahun lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!