Keperitan hidup pembakar semangat

Usaha dan kesabaran Mahani berbaloi apabila pendapatannya kini mencecah ratusan ribu ringgit untuk membesarkan tiga anaknya yang masih bersekolah.
Usaha dan kesabaran Mahani berbaloi apabila pendapatannya kini mencecah ratusan ribu ringgit untuk membesarkan tiga anaknya yang masih bersekolah.
A
A
A

GEORGE TOWN - Memegang status ibu tunggal anak tiga seawal usia 21 tahun bukanlah perkara mudah untuk ditanggung oleh seorang wanita.

Diusir suami sendiri ketika hamil anak ketiga bersama dua anak yang masih kecil mengubah kehidupan Mahani Udit, 35, dalam sekelip mata.

Sejak itu hidupnya terumbang ambing tanpa tempat berteduh dan menjadi gelandangan di usia muda.

Ibu kepada Muhammad Yamin Zunnurain, 15, Seri Mustokimah Al-Kausar, 14, dan Seri Noor Jannah Musfirah,13, berkata, bukan tiada keluarga untuknya bergantung hidup, sebaliknya dia memilih tidak mahu menyusahkan mereka.

“Saya diusir sehelai sepinggang pada tengah malam. Bayangkan dengan anak-anak yang kecil dan keadaan hamil, saya keluar rumah tanpa arah tujuan.

“Saya menumpang masjid berhampiran, kadang-kadang tidur di stesen bas, belakang bangunan dan begitulah keadaannya selama beberapa bulan.

“Saya terpaksa bawa dua anak berusia setahun dan empat bulan ketika bekerja sebagai tukang sapu di sebuah bangunan berhampiran. Hasil berjimat cermat, saya mampu sewa sebuah bilik kecil,” katanya.

Ujar pemilik syarikat M U Global Empire itu lagi, selepas beberapa bulan bekerja sebagai tukang sapu, dia diterima bekerja menjadi tukang masak di kantin sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Tak lama kemudian saya bersalin anak ketiga. Paling saya tak boleh lupa bila saya tak mampu nak bayar kos bersalin di hospital, masa itu saya ada RM5 sahaja.

“Selepas tiga hari bersalin, saya dah keluar bekerja. Saya tinggalkan bayi dengan abang dan kakaknya yang masih kecil. Empat jam sekali saya balik ke bilik jenguk anak-anak. Saya terpaksa, kalau tak kerja tak ada duit,” katanya.

Tambah anak jati Sungai Petani itu lagi, dia pernah beri anak sulungnya nasi berlaukkan air paip kerana kesempitan hidup.

“Gaji saya tak seberapa, RM70 sehari, dengan sewa bilik, anak tiga orang ketika itu memang sukar,” kongsinya lagi.

Keperitan hidup yang dilalui Mahani membakar semangatnya untuk bekerja lebih kuat untuk memberi kesenangan kepada anak-anaknya, sekali gus keluar daripada belenggu kemiskinan.

Menurut Mahani, dia mula berniaga sendiri selepas anak bongsu langsung tidak boleh berpisah dengannya walaupun ketika dia keluar bekerja.

Mahani di hadapan salah sebuah kedai menjahitnya di Kompleks Bukit Jambul.
Mahani di hadapan salah sebuah kedai menjahitnya di Kompleks Bukit Jambul.

“Nak cari pengasuh memang tak mampu. Jadi saya fikir nak berniaga kecil-kecilan tapi duit pula tak cukup.

“Tanpa berfikir panjang, saya pinjam daripada peminjam wang tanpa lesen. Saya pinjam RM1,000 tetapi kena bayar semula RM3,500.

“Saya terpaksa terima dan saya mula berniaga air kelapa, pisang goreng dan air soya. Itu sahaja cara saya nak dapatkan wang tanpa meninggalkan anak-anak saya di bilik sewa,” katanya.

BELAJAR JAHIT BAJU

Selain berniaga, Mahani juga mula belajar menjahit baju menerusi YouTube selepas satu kejadian anak-anaknya dihina kerana dia tidak mampu membeli baju baharu untuk mereka.

Menurutnya, anak-anak hanya memakai baju pemberian orang yang simpati dengan nasibnya.

“Saya langsung tiada bakat menjahit tetapi kerana dihina, saya paksa diri. Saya buka satu-satu jahitan baju yang orang sedekah, saya tekap semula pada kain perca yang dibeli, saya gunting dan jahit dengan jahitan tangan.

“Daripada baju biasa, saya dah pandai tambah sikit-sikit supaya baju anak-anak nampak cantik.

“Saya simpan duit, saya beli mesin jahit bersaiz kecil dan mula berani menerima tempahan pukal telekung daripada pelanggan,” ujar Mahani.

Sejak itu dia mula menerima tempahan telekung daripada pihak sekolah agama dan pendapatannya juga mulai stabil.

Mahani kini mempunyai lebih 30 pekerja untuk membantu dalam perniagaannya yang semakin maju.
Mahani kini mempunyai lebih 30 pekerja untuk membantu dalam perniagaannya yang semakin maju.

Bermula dengan menyewa sebuah kedai kecil di Kompleks Bukit Jambul, Mahani kini mempunyai sebuah kilang menjahit, tiga kedai dan sebuah kedai makan dengan dibantu lebih 30 pekerja.

“Pendapatan saya kini mencecah ratusan ribu ringgit. Alhamdulillah, rezeki anak-anak. Sekarang saya tak menang tangan terima tempahan baju kanak-kanak.

“Saya juga mempunyai sebuah rumah sendiri, kilang menjahit, sebidang tanah dan aset-aset lain. Insya-ALLAH, saya dalam perancangan membuka sebuah kilang menjahit lagi pada 2026,” katanya.

Mahani berkata, anak-anaknya adalah kekuatannya yang banyak membantunya mengorak langkah mengubah kehidupan keluarga tanpa mengenal erti putus asa.

“Memang ‘sakit’ menempuh semua dugaan ini tetapi saya bersyukur kerana berjaya. Saya jadikan hinaan yang dilemparkan kepada saya dan anak-anak sebagai sumber kekuatan.

“Nasihat saya kepada wanita lain yang sedang menempuh ujian berat, berusahalah tanpa mengenal erti penat. Jangan cepat putus asa, Berdoa dan terus berusaha tanpa erti jemu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!