Minta izinlah dulu kalau nak letak kereta di halaman rumah jiran
Baru-baru ini, rakan Merak Jalanan berkongsi cerita ketika dia pulang ke kampung di Melaka untuk menyambut hari raya Aidilfitri.
Sebaik tiba di kampung pada malam raya pertama, ibunya memang tidak menutup pagar rumah kerana telah diberitahu akan tiba tidak lama lagi.
Sebaik sampai, rakan Merak Jalanan mahu menutup pagar tapi dihalang ibunya kerana terdapat sebuah kereta orang luar diletakkan di halaman rumah.
Rakan Merak Jalanan ada perasan kereta tersebut, tapi ingatkan ia kepunyaan saudara mara atau rakan yang datang menziarahi rumah kakak yang terletak di belakang rumah emaknya itu.
Rupa-rupanya kereta itu milik seorang anak muda yang berkunjung ke rumah jiran terletak berhadapan.
Bahkan, ibu rakan Merak Jalanan itu pada mulanya sangka ada tetamu yang datang kerana kereta diletakkan di dalam halaman, namun ketika dijenguk di tingkap, ibu rakan Merak Jalanan nampak pemilik kereta dengan selamba berjalan keluar menuju ke rumah jiran berkenaan tanpa sebarang perkataan.
Mendengar cerita ini, Merak Jalanan terfikir, kita sebagai seorang Melayu yang kaya dengan budi bahasa, sekurang-kurangnya beritahulah dan meminta izin dahulu sebelum meletakkan kereta di halaman rumah orang lain.
Susah sangatkah nak minta izin? Tak terfikirkah kalau tuan rumah nak keluar atau tidur, sudah tentu menyusahkan.
Disebabkan ada kereta di halaman rumah, ibu rakan Merak Jalanan tak dapat tutup pagar dan terpaksa berjaga sampai malam.
Tapi Merak Jalanan lihat, beginilah perangai generasi muda zaman kita sekarang. Ramai semakin hilang adab dan budaya hormat-menghormati. Budi bahasa dan kesopanan apatah lagi.
Tidak dinafikan ramai anak muda sekarang semakin tinggi tahap akademiknya berbanding dahulu, namun semakin ramai juga yang rendah budi bahasa.
Sedangkan adab dan ilmu seharusnya berjalan seiring.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!