Kilang cat musnah terbakar

Kebakaran melibatkan dua buah bangunan kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru, Kapar dekat sini pada Isnin.
Kebakaran melibatkan dua buah bangunan kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru, Kapar dekat sini pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Sebuah kilang memproses cat musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Meru, Kapar dekat sini pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 6.34 pagi.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, BBP Klang Utara dan BBP Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kerja pemadaman turut melibatkan anggota BBP Pelabuhan Klang, BBP Kota Raja, BBP Shah Alam, BBP Bukit Jelutong serta BBP Rawang yang melibatkan keseluruhan seramai 39 anggota," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, kebakaran melibatkan dua buah bangunan kilang memproses cat.

"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya.

"Kejadian tidak melibatkan sebarang kehilangan jiwa atau kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anggota bomba menjalankan kerja pemadaman melibatkan sebuah kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru, Kapar dekat sini pada Isnin.
Anggota bomba menjalankan kerja pemadaman melibatkan sebuah kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru, Kapar dekat sini pada Isnin.

Menurutnya, setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan.


Kawasan hutan gelam terbakar

Sementara itu di BESUT, TERENGGANU kawasan hutan gelam seluas 4.7 hektar terbakar di Kampung Padang Baluh, dekat sini pada Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, seramai 11 anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3 petang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran tersebut telah merebak sehingga padang rumput.

"Pihak bomba melakukan teknik pemisah bagi mengelakkan api terus merebak ke kawasan lebih luas sehingga ke lokasi penempatan penduduk," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Muhammad Azrul Izzham menyatakan cuaca panas dan kering serta angin kencang menyebabkan api marak dengan lebih cepat.

Menurutnya, pihak bomba terpaksa berulang alik ke lokasi terdekat dengan sumber air bagi mendapatkan bekalan tersebut kerana kawasan kebakaran itu tidak mempunyai sumber air terbuka untuk disalurkan terus bagi proses pemadaman.

Kawasan hutan gelam seluas 4.7 hektar terbakar di Kampung Padang Baluh.
Kawasan hutan gelam seluas 4.7 hektar terbakar di Kampung Padang Baluh.

Muhammad Azrul Izzham berkata, punca dan kerugian berhubung kejadian tersebut masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim panas bagi mengelakkan kebakaran berskala besar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!