Dua beradik merangkak dalam asap tebal selamatkan diri
BACHOK - Dua beradik lelaki hampir pengsan dan mengalami sesak nafas ketika merangkak dalam asap tebal untuk menyelamatkan diri apabila rumah kedai didiaminya terbakar pada Isnin.
Kebakaran pada jam 6.50 pagi itu mengakibatkan lima deret rumah kedai berhampiran persimpangan lampu isyarat Beris Kubur Besar di sini musnah.
Jurukimpal, Mohd Fauzi Abdul Ghani, 49, berkata, dia yang baru bangun dari tidur di ruang tamu berjalan menuju ke bahagian dapur untuk bersiap memulakan kerja sebelum menyedari api marak di dalam bilik tidurnya.
"Dalam keadaan panik saya melihat api menjulang ke bahagian atap. Saya mengambil air dari telaga di dapur rumah dan cuba memadamkan api.
“Saya sedaya upaya berusaha menyimbah air beberapa kali tetapi api tetap marak menyebabkan saya mengalami keletihan ditambah lemas di dalam asap tebal.
“Saya hampir pengsan tetapi gagahkan diri merangkak keluar melalui pintu belakang untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima rumah kedai musnah terbakar
Ujar Mohd Fauzi, dia mengalami kerugian dianggarkan lebih RM50,000 apabila dua mesin kimpalan, empat gerudi, sebuah pemotong kayu dan sebuan mesin pam angin selain perkakas besi serta keluli musnah keseluruhannya dalam kejadian tersebut.
“Saya juga sedang menyiapkan tempahan pelanggan melibatkan pintu pagar keluli bernilai RM10,000 dan rak-rak besi penyimpanan juga turut hangus.
“Sebuah motosikal jenis EX5 yang berada di bahagian dapur terbakar sepenuhnya, manakala sebuah hangus sebahagian,” katanya yang sudah lebih 20 tahun mengusahakan perniagaan itu.
Sementara itu, abangnya, Azlizul, 54, yang tinggal di rumah kedai bersebelahan kedai kimpalan itu berkata, dia terjaga dari tidur selepas mendengar bunyi letupan api dari bahagian dinding papan rumahnya.
Bekas pemandu lori yang menghidap sakit jantung itu terus bangun untuk menyelamatkan diri dan turut merangkak keluar kerana asap tebal.
“Saya hilang tempat tinggal dan buat sementara akan menumpang di rumah ibu yang turut terletak di deretan sama yang turut terjejas dalam kebakaran ini.
“Sebuah kedai vape yang terlibat ini juga ialah milik anak saudara saya dan dia dianggarkan mengalami kerugian berjumlah RM50,000 manakala kedai alat permainan pula kedai milik sepupu kami serta sebuah lagi rumah kedai kosong,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!