KPDN Perak catat nilai rampasan lebih RM3 juta
IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menghasilkan sebanyak 277 kes dengan nilai rampasan RM3,451,623.67 dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kesemua kes terbabit direkodkan hasil daripada pemeriksaan ke atas 22,743 premis yang dijalankan di seluruh negeri.
"Jumlah kompaun sebanyak RM97,800 telah dikenakan menunjukkan pendekatan yang tegas dan adil dalam memastikan kepatuhan terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN.
"Begitu juga dengan nilai denda sebanyak RM258,000 yang telah dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan," katanya ketika berucap pada program Raikan Kemeriahan Aidilfitri bersama Komuniti Pengguna dan Rakan Strategik KPDN Perak di Bangunan Persekutuan Greentown di sini pada Isnin.
Menurut Kamalludin, KPDN Perak juga telah melaksanakan beberapa program di bawah inisiatif Payung Rahmah iaitu Program Jualan Rahmah (PJR) Madani dan Bazar Rahmah.
"Program ini telah memberi manfaat kepada masyarakat dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga yang mampu dimilik.
"Sebanyak 238 PJR telah dijalankan dari Januari hingga April tahun ini dan seramai 290,072 pengunjung dianggarkan telah hadir ke program berkenaan," katanya.
Pada majlis itu, seramai 13 pekerja telah diberi penghargaan atas perkhidmatan cemerlang yang telah disampaikan dan meraikan empat pegawai yang akan bersara tahun ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!