Anak peneroka gigih bangunkan kilang baja sawit

Pelbagai ringtangan terpaksa dihadapi bagi Siti Hawa dan suami, Jamal untuk memajukan Agro Surge sebagai pengilang baja terunggul di Malaysia.
Pelbagai ringtangan terpaksa dihadapi bagi Siti Hawa dan suami, Jamal untuk memajukan Agro Surge sebagai pengilang baja terunggul di Malaysia.
A
A
A

Tidak pernah terlintas di fikiran anak kelahiran Felda Koyan 1, Raub, Pahang ini, Siti Hawa Jaafar yang memulakan kerjaya sebagai ejen menjual baja selepas berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat, Johor.

Kerjaya itulah yang telah mengubah 360 darjah kehidupannya, biarpun bergelumang dengan kerjaya yang dianggap ‘tidak glamor’ itu, namun wanita berhati waja ini tahu hala tuju dan masa hadapan yang beliau inginkan.

Ketika rakan-rakan seusianya sedang memperkukuhkan kerjaya masing-masing di syarikat-syarikat ternama selepas menamatkan pengajian masing-masing, Siti Hawa atau lebih mesra dengan panggilan Hawa memilih untuk bergelumang dengan membancuh ramuan baja.

Kini di usia 38 tahun, Hawa mampu berbangga menjadi satu-satunya wanita bumiputera yang menerajui syarikat pengeluar baja sawit di negara ini iaitu Agro Surge.

Segalanya bermula pada tahun 2008, apabila Hawa memberanikan diri menjadi ejen beberapa produk baja sedia ada selepas meletak jawatan sebagai Eksekutif Operasi di sebuah kilang baja di selatan tanah air.

Berbekalkan pengalaman selama tiga tahun dari kerjaya lamanya itu, ternyata percaturan Hawa mula membuahkan hasil apabila pada tahun 2016, tertubuhnya syarikat Agro Surge Sdn. Bhd. (Agro Surge) yang mempertaruhkan jenama baja, Sawit Emas.

“Apabila jualan baja semakin baik dan saya juga sudah mempunyai jenama baja saya sendiri, saya menghadapi kekangan apabila kilang OEM (Original Equipment Manufacturer) yang menghasilkan baja untuk saya itu, tidak mampu mengeluarkan baja mengikut masa dan permintaan pelanggan saya. Jadi ketika itu saya terfikir, kenapa saya tidak membuka kilang dan hasilkan baja sendiri?”, katanya.

Artikel Berkaitan:

SITI HAWA
SITI HAWA

Jelas Hawa, Agro Surge Sdn Bhd yang diuruskan sendiri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Agro Surge) dan dibantu oleh suaminya, Jamaludin Md. Esa di kerusi Pengarah Operasi Agro Surge, kini beliau boleh tersenyum bangga kerana menjadi antara pemain utama pengilangan baja kimia Nitrogen, Fosforus dan Kalium atau Potasium (NPK) untuk kelapa sawit, durian, padi dan tanaman komersial di Malaysia.

Oleh kerana perkembangan positif jualan produk baja keluaran Agro Surge, Hawa dan Jamal memberanikan diri melabur dengan membuka kilang pertama mereka di Kampung Baru Subang (Selangor) pada tahun 2017.

“Oleh kerana kapasiti permintaan dan pengeluaran semakin meningkat, Agro Surge mengambil tindakan proaktif memindahkan kilang kami ke Telok Panglima Garang, Klang (Selangor). Ini berikutan keperluan spek pengilangan dan kapasiti penyimpanan (storage atau gudang) yang memerlukan ruang yang lebih besar.

“Selain itu, ia bertujuan untuk mendapatkan akreditasi pengilangan yang standard seperti ISO Pertubuhan Penstandardan Antarabangsa (ISO) dan Bahagian Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH). Pendekatan ini membolehkan Agro Surge terus berdaya saing bagi mendapat peluang membekalkan baja ke ladang-ladang yang lebih besar,” ujar Hawa lagi.

Operasi kilang semakin berkembang

Pembukaan kilang di Telok Panglima Garang ini membolehkan kapasiti pengeluaran meningkat kepada 10,000 tan metrik sebulan. Ia disokong dengan jumlah pekerja tempatan 10 orang, pekerja bahagian pengeluaran 25 orang dengan modal berbayar RM5.5 juta dengan kos mesin pula sebanyak RM3.5 juta.

Untuk rekod, penjualan atau pemasaran baja kimia NPK yang telah berada di pasaran Malaysia sejak era tahun 60-an sejajar dengan usaha negara memperkenalkan sawit sebagai komoditi utama bagi membolehkan rakyat negara ini mempunyai pendapatan yang lebih lumayan berbanding dengan tanaman dalam industri pertanian yang lain seperti padi, koko dan tembakau.

“Kami mempertaruhkan jenama Sawit Emas yang perlu bersaing dengan pengeluar baja kimia yang telah lama bertapak dalam industri ini. Pelbagai cabaran yang perlu kami tempuhi apabila Agro Surge menerokai bidang ini secara serius khususnya mendapatkan mesin yang kompeten bagi penghasilan butiran baja yang standard, menepati piawaian dan keperluan ladang-ladang sawit.

“Cabaran lain ialah mendapatkan bahan mentah dengan harga yang stabil dan konsisten kerana kami perlu menggunakan khidmat pembekal (orang tengah) bagi mendapatkan bahan-bahan mentah seperti ammonia dan muriate of potash yang diimport dari luar negara.

Oleh itu Agro Surge ingin menjalinkan kolaborasi secara terus dengan pembekal bahan mentah daripada luar negara supaya dapat mengelakkan manipulasi harga melibatkan orang tengah bagi pembelian sumber bahan mentah yang menjadi baja-produk keluaran Agro Surge,” jelas Siti Hawa.

Yakin kualiti baja setanding baja import

Jelas Hawa, Agro Surge pada peringkat awal penubuhannya pada tahun 2010, hanyalah sebuah syarikat yang mengedar pelbagai jenis baja kimia yang diperolehi dari kilang-kilang sedia ada.

Siti Hawa dan Jamal bersama produk baja keluaran Agro Surge dibawah jenama Sawit Emas, Getah Emas, Padi Emas, Durian Emas dan Lala Grow (baja serbaguna).
Siti Hawa dan Jamal bersama produk baja keluaran Agro Surge dibawah jenama Sawit Emas, Getah Emas, Padi Emas, Durian Emas dan Lala Grow (baja serbaguna).

Namun katanya, syarikat miliknya melihat potensi yang sangat besar dalam industri pemprosesan baja kimia berikutan sawit merupakan tanaman komersial yang begitu konsisten dalam aspek keluasan tapak tanaman yang bertambah setiap tahun dan mempunyai pasaran yang stabil (minyak sawit).

“Formula baja kimia yang kami bangunkan adalah berdasarkan penyelidikan dan pengalaman peribadi saya selama terlibat dalam kerja-kerja pemasaran baja sebelum ini. Untuk memastikan baja keluaran Agro Surge dengan jenama Sawit Emas benar-benar berkualiti, saya menggunakan baja tersebut untuk terlebih dahulu untuk membuktikan keberkesanannya sebagai makanan kepada akar, batang pokok, daun dan buah sawit.

“Kami sentiasa meningkatkan kapasiti pengeluaran kerana permintaan baja kimia atas jenama Sawit Emas semakin meningkat. Pada tahun 2020 kapasiti pengeluaran baja kami adalah sekitar 18,000 tan setahun sahaja, meningkat kepada 25,000 tan (2022) dan terkini berjaya mengeluarkan 10,000 tan metrik sebulan,” jelas Hawa.

Modus Operandi Perniagaan Agro Surge

Ketika ditanya tentang modus operandi perniagaan Agro Surge, Hawa menjelaskan mereka menggunakan pendekatan seperti berhubung secara terus dengan pekebun atau peladang agar Agro Surge mendapat maklum balas bagi meningkatkan kualiti baja keluarannya.

“Kami juga menjalankan aktiviti memantau (monitor) jualan baja di kedai-kedai dan ejen-ejen jualan kami agar proses jual beli menjadi lancar dan tiada baja yang disimpan dalam tempoh yang lama.

“Kami juga kerap menjalankan sesi perjumpaan dan taklimat dengan pekebun/peladang secara percuma bagi mengenal pasti masalah dan faktor mereka gagal mencapai hasil yang tinggi sebagaimana yang sepatutnya.

“Alhamdulillah dengan sokong dan kepercayaan para pekebun/peladang dan agensi-agensi kerajaan, Agro Surge mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemain industri yang lain. Kini Agro Surge sedang berusaha untuk mendapatkan hak lesen pengilangan (manufacturing licence) baja daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk MPOB,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!