Kontinjen UiTM pulang bergaya dari Negeri Di Bawah Bayu
KONTINJEN Universiti Teknologi MARA (UiTM) dinobatkan sebagai juara keseluruhan Karnival Sukan MASUM 2024 Fasa 1 di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
UiTM berjaya mengumpul 29 emas, 13 perak dan 11 gangsa jauh meninggalkan pencabar terdekat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menduduki tempat kedua dengan kutipan pingat sebanyak 11 emas, lima perak dan 11 gangsa.
Ketua Kontinjen UiTM, Dr Dg Ku Habibah Ag Kee berkata, setiap atlet mempamerkan semangat yang luar biasa sungguh pun dalam cuaca yang sangat panas pada ketika ini.
“UiTM telah berjaya mendominasikan beberapa acara sukan di sepanjang kejohanan ini.
“Dalam keadaan cuaca yang sangat panas di sini, atlet masih berjuang dengan semangat yang tinggi,” katanya.
Karnival Sukan MASUM 2024 Fasa 2 dijadualkan berlangsung di Universiti Malaya (6 sehingga 12 Mei).
Kontinjen UiTM diyakini dapat meneruskan prestasi cemerlang Fasa 1 pada Fasa 2 yang menyaksikan 10 acara dipertandingkan iaitu softbol, bola jaring, badminton, ragbi 7s, bola baling, boling padang, bola keranjang, skuasy, karate dan tenis.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!